Gaya dan kejutan! Ini 5 trivia KLFW 2019 yang anda perlu tahu
Asyraf Roslan
Ogos 21, 2019 08:59 MYT
Ogos 21, 2019 08:59 MYT
KEHANGATAN Minggu Fesyen Kuala Lumpur ( KLFW ) kian terasa.
Sudah pasti peminat-peminat fesyen tanah air tidak sabar menantikan koleksi terbaharu oleh pereka fesyen tempatan kegemaran mereka, juga untuk melaram sakan semasa minggu fesyen itu nanti.
Tetapi sebelum anda hadir ke acara berprestij ini, Astro AWANI akan kongsikan lima perkara menarik mengenai KLFW 2019:
1. 80 pereka tempatan persembahkan koleksi terkini
Pertunjukan KLFW kali ini menampilkan 80 pereka tempatan yang menggabungkan pereka fesyen baharu dan juga sedia ada.
Antara jenama pereka yang akan membuat kemunculan kali ini ialah Mimpi Kita, Afiq M, Alia Bastamam, Neonate, Ezzati Amira dan Innai Red.
Pereka baharu yang akan membuat kemunculan kali ini ialah Behati, Maqilla, Mells, Sierra Chong dan Techniq.
Menurut Pengasas KLFW, Andrew Tan tahun ini KLFW ingin memberi tumpuan buat pereka-pereka fesyen tempatan.
"Tahun ini kita memberi fokus kepada pereka fesyen tanah air, kerana mereka KLFW merupakan platform besar untuk mereka.
"Jadi kami akan memberi fokus kepada mereka,” katanya pada sidang media KLFW.
2. Rizman Ruzaini hadir dengan koleksi jejaka
Bagi peminat Rizman Ruzaini sudah semestinya akan menantikan apakah yang akan dipersembahkan pereka duo hebat ini.
Setiap tahun pasti akan ada magis yang dipersembahkan oleh mereka di pentas KLFW yang gah itu.
Tahun ini, jenama Rizman Ruzaini akan mengeluarkan koleksi penuh buat kaum lelaki.
Jika dahulu mereka pernah menghasilkan rekaan untuk lelaki, namun itu hanyalah koleksi kapsul kolaborasi bersama penyanyi Anuar Zain.
Pasti anda tidak sabar untuk menyaksikan kelainan yang dibawa. Sama-sama kita nantikan kemunculan mereka.
3. Fiziwoo X Durian
Berlainan pula dengan jenama Fiziwoo, rekaan jenama ini sangat unik dan sentiasa mengujakan peminat-peminat mereka.
Tahun ini mereka hadir dengan sesuatu yang dekat dengan hati rakyat Malaysia iaitu durian.
Ya, durian! Mungkin anda tertanya-tanya bagaimanakah rekaan itu dan adakah kita akan menyaksikan penuh warna kuning dan hijau di atas pentas KLFW?
Kita tunggu dan lihat.
4. AirAsia Foundation X Projek Jahat
Unconventional!
Itulah tema kolaborasi AirAsia Foundation bersama jenama Projek Jahat.
Kali ini mereka akan menggunakan barang-barang dalam kapal terbang seperti jaket keselamatan, tali pinggang keselamatan, kulit daripada kerusi kapal terbang itu sendiri untuk dijadikan pakaian.
Lebih menarik lagi, perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memakai salah satu rekaan kolaborasi ini iaitu jaket kulit yang dihasilkan daripada kulit tempat duduk kapal terbang.
Untuk pengetahuan anda, ini merupakan kerjasama pertama AirAsia Foundation bersama Projek Jahat.
5. Hatta Dolmat kembali ke pentas KLFW
Kali terakhir penglibatannya dalam KLFW adalah pada tahun 2015. Kini beliau kembali ke pentas penuh glamor itu untuk mempamerkan koleksi terbaharu rekaannya.
Kami percaya ramai yang ternanti-nantikan apa yang bakal dipersembah oleh pereka fesyen kelahiran Melaka ini.
Sama-sama kita nantikan pada hari kedua acara tersebut.
Tahun ini H-Live, Gempak TV dan saluran Astro Ria juga akan menjadi rakan penyiar rasmi bagi acara gilang-gemilang tersebut.
KLFW 2019 bakal berlangsung pada 21 hingga 25 Ogos ini di Pavilion, Kuala Lumpur.
#Air Asia Foundation
#Astro Awani
#Hatta Dolmat
#KLFW
#KLFW 2019
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Perdana Menteri
#Rizman Ruzaini