Gastronomi eksotik menyatukan diaspora Borneo di tanah Semenanjung
Prof Madya Dr Ramzah Dambul
Januari 21, 2019 10:43 MYT
Januari 21, 2019 10:43 MYT
TRADISI gastronomi Sabah dan Sarawak memang unik. Ia bukan saja mencitrakan latar etnik yang rencam. Ia juga menyerlahkan khazanah alam Borneo yang kaya diversiti.
Sehingga lewat 70-an, suku natif wilayah ini masih mengamalkan sistem ekonomi saradiri. Pertanian pindah dan memburu, kekal menjadi aktiviti utama.
Sebab itu warisan gastronomi mereka melambangkan seni survival yang tinggi. Mereka santuni alam semulajadi dengan budaya kulinari masyarakat agrarian tegar. Yang memanfaatkan sepenuhnya sumber-sumber asli di persekitaran.
Baru-baru ini saya sempat berkunjung ke Pasar Borneo di Serdang, buat pertama kali. Serius, saya kagum teruja!
Pasarnya tidaklah besar dari segi saiz, dengan jumlah gerai dan ruai kurang daripada 30. Tetapi ia menghimpunkan koleksi gastrulinari (gastronomi + kulinari) Sabah dan Sarawak yang begitu makmur.
Kalau balik kampung, saya memang pengunjung setia tamu-tamu (pasar tradisi) yang menawarkan aneka pilihan lokal. Tetapi di tamu mingguan Tuaran yang ikonik itu pun, kepelbagaian makanan Sabah hampir tidak dapat menandingi Pasar Borneo.
Di tamu kecil itu, saya temui sayur dan buah yang jadi item signature dua negeri Malaysia Timur itu. Ada tarap, bambangan, dabai, tutan, lemiding liar dan macam-macam lagi. Kulinari natif seperti pinjaram, kelupis, sambal tuhau, umai, hinava dan linopot pun ada.
Yang paling gempar, wujudnya pilihan aneka jeruk dan pekasam etnik. Saya memang penggemar abadi jenis-jenis makanan begini. Bukan saja sebab eksotik, tetapi ia mewariskan satu legasi penting kepintaran pribumi Borneo dalam seni mengawet makanan.
Inilah yang saya rujuk ciri gastronomi survival, kerana teknik tradisi tersebut membolehkan makanan tahan hingga bertahun. Boleh dijadikan simpanan bekal pada musim-musim mendatang yang sukar.
Ketika asyik membelek jeruk ikan sungai (dipanggil bosou oleh komuniti Momogun Sabah), penjualnya spontan bertanya dengan penuh yakin: “Tulun do dusun boh?” (Orang Dusunkah?) Apa lagi, meriahlah kami berborak dialek suku sendiri selepas itu.
Berada dalam komuniti diaspora Borneo di bumi Semenanjung, menyuntik rasa kekitaan yang indah. Kerana aura etnik serumpun itu terasa begitu dekat dan intim. Sambil membeli-belah, sambil menghayati irama lagu Dayak yang sayup-sayup berkumandang.
Selalunya orang akan tegur saya: “Are you Nepalese or Pilipino?” Atau paling tidak pun: “Oh, saya ingat kamu orang Cina.” Tetapi bila sesama warga Borneo, kami saling dapat merasa pesona identiti yang tersirat, meskipun sebelum bertanya.
Pasar Borneo di Serdang memang begitu istimewa di mata dan di hati. Ia tidak sekadar menerbangkan tradisi gastronomi Sabah dan Sarawak merentas Laut China Selatan. Yang jauh lebih manis, ia satu pertemuan yang melunaskan dendam rindu masyarakat diaspora Borneo di bumi semenanjung.
* Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul merupakan seorang birokrat federal, saintis menara gading serta penyair dan pelukis indie.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.