Gara-gara geram sampah dibuang sembarangan, tukang sapu di Paris jadi selebriti TikTok
Agensi
Mac 7, 2021 16:46 MYT
Mac 7, 2021 16:46 MYT
PARIS: GERAM dan kecewa dengan tabiat orang ramai yang membuang sampah merata-rata semasa tempoh pandemik COVID-19, seorang pekerja pembersih jalan mengambil keputusan untuk menggunakan platform TikTok untuk menyampaikan peringatannya - buang sampah di tong sampah!
Reuters melaporkan, Ludovic Frenceschet, 45, secara tiba-tiba menjadi terkenal dalam budaya terkini anak muda di Perancis apabila menghasilkan video selang masa (time-lapse) yang menunjukkan dirinya menyapu sampah yang bertimbun, menari dan membuat rayuan kepada orang ramai supaya menjaga kebersihan di planet ini.
Akaun TikTok Franceschet mempunyai sekitar 59,000 pengikut, 608,000 tanda suka (like) dan sesetengah video yang dimuat naik olehnya mencatatkan ratusan jumlah tontonan.
Ketika Franceschet menjalankan tugasnya seperti biasa di kawasan Les Halles di tengah-tengah kota Paris pada Khamis lalu dengan penyapu dan penyodok sampahnya, seorang remaja lelaki yang sedang menikmati makanan segera terus bertanya: "Adakah anda lelaki dalam TikTok itu?"
Mengimbas tentang sifatnya yang mencintai kebersihan, Franceschet memberitahu, sejak dia berusia 7 tahun dia sudah mula memungut puntung rokok di halaman rumah keluarganya, serta beg kertas yang bersepah-sepah di jalanan.
Sebelum ini, dia pernah bekerja sebagai pekerja am bagi pesakit kanser dan golongan dewasa yang autistik. Bagaimanapun, menurutnya kerja membersihkan sampah lebih disukainya.
"Impian saya mudah saja... untuk membersihkan planet ini," katanya bangga.
Dia malah bekerja secara syif yang selama tujuh jam, dan selepas potongan cukai, gaji yang dia terima adalah sekitar 1,500 Euro (RM7,200) sebulan, ujarnya.
Semasa pandemik, makan di restoran dan kafe dilarang, maka ramai orang akan membungkus makanan. Hal itu membawa kepada bertambahnya jumlah sampah di jalanan - sekali gus bermakna lebih kerja buat Franceschet.
Perjalanannya mengecap 'kemasyhuran' di TikTok bermula apabila dia berasakan usahanya membersihkan sampah itu tidak cukup dan dia perlu mendidik orang muda tentang tanggungjawab sivik mereka.
"Saya membuat video. Ia kemudian dapat 100 likes dan saya kata 'wow, mari cuba buat lagi!' Dan kemudian barulah saya tahu mesejnya sampai kepada generasi muda," ujarnya.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#tukang sapu
#Paris
#prancis
#TikTok
#selebriti
#buang sampah
#tabiat buang sampah
#pendidikan
#shm
#weekender