Gara-gara benar Sonu Nigam menyanyi dalam pesawat, kru Jet Airways digantung tugas
Madiha Abdullah
Februari 6, 2016 15:56 MYT
Februari 6, 2016 15:56 MYT
SYARIKAT penerbangan Jet Airways menggantung tugas lima kru kabinnya selepas mereka didakwa melanggar peraturan dengan meminta penyanyi Hindi terkenal, Sonu Nigam, menyanyi di dalam pesawat.
Dalam penerbangan dari Mumbai ke Jodhpur pada 4 Januari lalu, Sonu bermurah hati memenuhi permintaan kru kabin dan menghiburkan penumpang dengan beberapa lagu, menggunakan sistem public address (PA sistem) di dalam pesawat.
Dalam satu kenyataan di akaun Facebook, syarikat penerbangan berkenaan menjelaskan kesemua kru terbabit diminta menghadiri sesi latihan sebagai langkah mengelakkan mereka daripada melakukan kesalahan yang sama.
Ia bagaimanapun dikritik Sonu yang berpendapat tindakan itu terlalu tegas, memandangkan ketika itu, tiada pengumuman yang perlu dibuat dan isyarat pemakaian tali pinggang keselamatan juga sudah dipadamkan.
"Ia seolah-olah menghalang orang ramai daripada bergembira," kata Sonu, dipetik dari laporan The Times of India.
Januari lalu, satu klip Sonu menyanyikan dua buah lagu, Do Pal Ruka dari filem Veer Zaara dan Panchhi Nadiya dari filem Refugee di dalam sebuah pesawat tersebar di laman sosial.
Ia mendapat pujian ramai yang menyifatkan Sonu sebagai rendah diri dan menghargai peminatnya.