Gangguan permainan video bukan satu ketagihan - Pakar perunding psikatri
Amirul Awaludin
Disember 29, 2017 18:49 MYT
Disember 29, 2017 18:49 MYT
Gangguan permainan video atau gaming disorder sama ada dalam bentuk digital atau video bukan satu ketagihan.
Presiden Persatuan Pencegahan Ketagihan Internet Malaysia merangkap Pakar Perunding Psikatri Kanak-kanak dan Remaja, Dr Norharlina Bahar menegaskan ia hanya berlaku apabila seseorang itu bermain permainan video secara berlebihan.
Terdapat tiga kategori yang ditekankan membawa kepada gangguan permainan video ini.
Antaranya adalah gagal mengawal diri ketika bermain, memberi keutamaan terhadap permainan video dan tidak melakukan tanggungjawab harian.
"Keutamaan merujuk kepada permainan video yang diletakkan sebagai paling utama diantara perkara yang lebih penting dalam hidup,
"Contohnya seperti seorang remaja sepatutnya pergi sekolah tetapi disebabkan bermain permainan video ini, ianya sudah menjadi satu keutamaan," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, jika seseorang itu bermain permainan video dalam tempoh lama, ia akan mempengaruhi kesihatan mereka dari segi kesihatan mental dan fizikal serta memberi kesan negatif terhadap diri, keluarga, masyarakat termasuk kerjaya.
Sementara itu, Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan, kajian menyeluruh perlu dijalankan bagi menentukan keadaan sebenar ketagihan permainan video ini di kalangan masyarakat ketika ini.
#Dr Norharlina Bahar
#gagal mengawal diri
#gaming disorder
#Gangguan permainan video
#Pakar Perunding Psikatri Kanak-kanak dan Remaja
#Presiden Persatuan Pencegahan Ketagihan Internet Malaysia