Gamitan malam Lailatul Qadar
Madiha Abdullah
Jun 22, 2016 00:53 MYT
Jun 22, 2016 00:53 MYT
LAILATUL Qadar, malam yang dinantikan oleh mereka yang beriman.
Malam yang penuh keberkatan itu hadir hanya sekali dalam setahun, justeru tidak hairanlah umat Islam berharap dapat bertemu dengannya.
APA ITU MALAM LAILATUL QADAR?
Satu malam dalam bulan Ramadan, yang dikenali sebagai satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, atau bersamaan dengan 86 tahun. Ini kerana mereka yang beribadat pada malam ini akan mendapat ganjaran seperti dia beribadat selama 1,000 bulan.
Umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan seperti bertadarus, melakukan solat sunat dan berdoa kepada Allah untuk mendapat ganjaran yang dijanjikan.
BILA LAILATUL QADAR AKAN BERLAKU?
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
“Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Riwayat Bukhari turut menyatakan, kebarangkalian untuk Lailatul Qadar berlaku pada malam ganjil adalah lebih tinggi.
Ini bermakna, malam yang berkemungkinan besar malam Lailatul Qadar adalah ke-21, 23, 25, 27 dan 29.
Pun begitu, adalah lebih baik jika kita tidak hanya menyasarkan malam-malam tersebut, kerana dibimbangi akan terlepas. Tidak ada ruginya beribadat, sama ada pada malam Lailatul Qadar atau bukan.
APA TANDA MALAM LAILATUL QADAR?
Sebelum melihat tanda-tandanya, mungkin ada baiknya juga jika kita melihat apa yang dipesan oleh Ibnu Hajar Al Asqalani ini:
وَقَدْ وَرَدَ لِلَيْلَةِ الْقَدْرِ عَلَامَاتٌ أَكْثَرُهَا لَا تَظْهَرُ إِلَّا بَعْدَ أَنْ تَمْضِي
“Ada beberapa dalil yang membicarakan mengenai tanda-tanda Lailatul Qadar. Namun itu semua tidaklah nampak kecuali setelah malam tersebut berlalu.” (Fath Al-Bari)
Namun sebagai pengetahuan bersama, dikongsi beberapa tanda malam istimewa ini.
1. Keadaan malam yang segar, tidak sejuk dan tidak panas.
2. Tidak hujan, hembusan angin tenang dan langit terang.
3. Pada paginya, matahari terbit dengan cahaya yang lembut dan tidak menyilaukan.