Francisca Luhong dan cabaran mengakhiri penantian Malaysia di pentas Miss Universe

Syafik Shukri Jalil
Mei 16, 2021 13:41 MYT
Untuk itu, besar harapan negara untuk menyaksikan anak kepada pasangan James Mering Bungan dan Pauline Japok ini mengikut jejak Datin Josephine Lena Wong berhasil. - Miss Universe Malaysia
KUALA LUMPUR: Misi mengukir nama Malaysia sebagai pesaing hebat di pentas Miss Universe berjaya digalas dengan cemerlang oleh gadis jelita kelahiran negeri Bumi Kenyalang, Francisca Luhong James.
Setakat ini, dia yang merupakan Miss Universe Malaysia 2020 berjaya membuktikan kepada peminat arena ratu kecantikan di seluruh dunia bahawa Malaysia juga mampu menghasilkan jaguh yang menawan, berketrampilan, dan bijaksana.
Ini dibuktikan dengan persembahan mantap gadis berketurunan Iban, Kenyah dan Kayan ini menerusi “Preliminary Round” yang berlangsung di Seminole Hard Rock Hotel & Casino, Hollywood, Florida pada Sabtu pagi, waktu Malaysia.
Dua pusingan acara itu melibatkan Swimsuit Competition dan Evening Gown Competition, Francisca berjaya mempamerkan segala usaha kerasnya sebelum terbang ke negara Uncle Sam itu dengan menterjemah persembahan memukau.
Persembahan mantap di prelims
Menerusi slot Evening Gown Competition, dia mengenakan sepersalinan gaun mewah berwarna monokrom rekaan Rizman Ruzaini yang diilhamkan daripada kisah lagenda Puteri Santubong di negeri kelahirannya, Sarawak.
Serba-serbi mengenai persembahannya itu mencuri tumpuan daripada lenggok berjalan, lirikan matanya dan paling penting emosinya ketika menggayakan busana tersebut.
Selain itu, berlaku elemen kejutan apabila ramai menyangkakan bahawa gadis berusia 25 tahun ini akan mengenakan satu lagi busana mewah rekaan Rizman Ruzaini yang sebelum ini dipersembahkan kepada umum beberapa hari sebelum Francisca terbang ke Amerika Syarikat.
Gaun mewah berwarna biru itu juga diinspirasikan daripada kisah legenda Puteri Sejinjang di Sarawak.
Fokus terhadap jelitawan ini tidak hanya tertumpu kepada persembahannya di pentas “Preliminary” malah setiap pergerakannya baik di lobi hotel ketika dalam perjalanan menuju ke setiap acara juga mendapat perhatian peminat ratu cantik seluruh dunia.
Namun pastinya, perhatian yang diperoleh bukanlah penentu kepada keberhasilan Francisca meloloskan diri ke peringkat suku akhir (Top 21) kerana perlu diingat ada sesi soal jawab secara tertutup bersama beberapa panel hakim terpilih.
Di situ, kesemua 74 peserta untuk edisi kali ini dinilai secara terperinci dan pastinya kemahiran berkomunikasi, ketangkasan melontarkan idea serta jawapan kepada setiap persoalan, kebolehan mempamerkan keunikan diri pastinya menjadi kayu pengukur untuk menentukan seseorang peserta itu layak atau sebaliknya.
Terdahulu juga pada Jumaat, Francisca memperagakan 'Kampungku' yang merupakan National Costume rekaan Carven Ong.
BACA: Kostum 'Kampungku' taruhan Malaysia di pentas Miss Universe
Umum mengetahui Kampungku yang berinspirasikan citra Malaysia mempamerkan budaya dan elemen perkampungan yang terdapat di negara ini.
Usaha gigih Francisca dan pasukannya di Miss Universe Malaysia Organization (MUMO) wajar dipuji kerana komitmen mereka membawa sesuatu yang luar biasa di ajang tersebut.
Misi di pentas Hollywood
Biar berdepan sedikit kesulitan saat persembahan berlangsung, Francisca berjaya memberikan persembahan mantap dan bersahaja, seterusnya membanggakan rakyat Malaysia.
Cabaran sepanjang penularan pandemik COVID-19
Kewibawaannya sebagai peserta yang mewakili Malaysia juga terserlah menerusi pesonanya tersendiri ditambah dengan setiap busana yang digayakan sepanjang acara berlangsung bermula daripada saat gadis Borneo ini menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Fort Lauderdale, Florida pada 7 Mei 2021.
Anak sulong daripada tiga beradik berketinggian 175 sentimeter ini tidak menunggu lama untuk memulakan aksi dan mempamerkan keunikan dirinya di mata dunia.
Mengenakan busana berwarna merah rekaan Brian Khoo, Francisca terus ‘melibas’ dengan mengenakan pelbagai lagi rona dan gaya busana yang menarik perhatian dan lebih penting menerapkan identiti dan keindahan Malaysia.
Menerusi slot AWANI Pagi yang dihoskan penulis pada 24 April 2021 yang lalu, Francisca ada berkata saat ini, dunia bukan hanya tertumpu kepadanya, malah kepada setiap perkara yang dipersembahkan di arena Miss Universe.
Untuk itu, penting buat dirinya untuk mempersiapkan diri sebaik-baiknya bagi membolehkan misinya menjadi peserta Miss Universe kedua dari Malaysia yang melepasi pusingan suku akhir selepas Datin Josephine Lena Wong pada tahun 1970 di Miami, Amerika Syarikat, berhasil.
Penularan COVID-19 ujarnya, sedikit sebanyak mengganggu proses persiapannya namun segalanya berjaya diatasi dengan baik.
“Persiapan saya pada kali ini sangat berbeza dengan perwakilan Malaysia sebelum ini kerana penularan pandemik COVID-19.
AWANI Pagi: Saingan Miss Universe ketika pandemik
“Antara persiapan saya adalah memperkasakan advokasi yang saya perjuangkan iaitu Women Rise juga persiapan yang melibatkan catwalk bersama Amber Chia, pemilihan busana dengan beberapa pereka fesyen dan National Costume yang akan digayakan.
“Secara jujurnya agak rumit bagi saya untuk mengejar aspirasi mempamerkan keunikan Malaysia dari Perlis sehingga ke Sabah namun disebabkan kekangan masa, saya tetap berhasil menyiapkan beberapa video menarik memaparkan keunikan negeri Kelantan, Selangor dan Sarawak,” katanya.
Mengakhiri penantian Malaysia selama 51 tahun?
Seperti yang kita ketahui, kali terakhir Malaysia berjaya menempatkan diri dalam pusingan suku akhir Miss Universe pada 1970 melepasi Top 15.
Untuk itu, besar harapan negara untuk menyaksikan anak kepada pasangan James Mering Bungan dan Pauline Japok ini mengikut jejak Datin Josephine Lena Wong berhasil.
BACA: "Bukan hanya mewakili Sarawak, tetapi Malaysia keseluruhannya..." - Francisca Luhong
Biar berdepan persaingan hebat dari pelbagai negara terutama negara ‘veteran’ seperti Venezuala, Filipina, Columbia dan Thailand, pastinya peminat akan sentiasa meletakkan harapan agar gadis pribumi ini akan berjaya mengharungi cabaran ini dengan gemilang.
Pastinya tekanan yang menggunung turut dirasai pemilik sosok tubuh ini namun apa pun rakyat Malaysia tahu akan hasil kerja keras dan usahanya dalam memastikan agenda melepasi pusingan suku akhir dan seterusnya telah diusahakan dengan sebaik-baiknya.
Pentas akhir Miss Universe akan berlangsung pada Isnin, 17 Mei 2021 jam 8.00 pagi waktu Malaysia.
#Miss Universe 2020 #Francisca Luhong James #Miss Universe Malaysia #anak Sarawak #Zozibini Tunzi #Catriona Gray #kostum Kampungku #Rizman Ruzaini #Carven Ong
;