FPM@KL 2024 hidupkan semula warisan permainan tradisional
Bernama
September 15, 2024 17:16 MYT
September 15, 2024 17:16 MYT
KUALA LUMPUR: Permainan tradisional seperti tating lawi, kaki hantu dan laga ayam yang semakin dilupakan dan ditelan zaman, kembali dihidupkan di tengah-tengah ibu kota.
Bertempat di Dataran Merdeka, di sini, Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur 2024 (FPM@KL 2024) bukan sahaja mengimbau kenangan, malah memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada kanak-kanak dan generasi muda yang kini lebih sinonim dengan gajet dan permainan virtual.
Airiel Zharif Muhamad Razali, 11, yang pertama kali mencuba permainan terompah gergasi, mengakui yang beliau agak gugup, namun berjaya mengawal langkah selepas mencuba beberapa kali.
"Seronok, tapi susah sikit nak seimbangkan badan. Mula-mula asyik nak jatuh tapi lepas beberapa kali cuba dah boleh jalan," katanya yang mencuba permainan tersebut bersama rakan-rakannya.
Qistina Neliya Abdul Rahman pula teruja dan menyukai permainan tuju tin, kerana boleh berinteraksi dan menghabiskan masa bersama rakan-rakan sekali gus memeriahkan suasana.
"Permainan ini tak boleh main seorang diri, jadi lagi seronok, nak menang kena susun tin penuh. Kalau video game main sendiri saja," kata kanak-kanak berusia sembilan tahun itu.
Seorang pelancong dari China Li Paimu, 23, yang turut ke festival itu telah mencuba bermain kaki hantu, iaitu pemainan menggunakan dua batang kayu tinggi dan pemainnya berdiri pada tapak yang diikat pada kayu untuk berjalan, mendapati ia lebih sukar daripada disangkakan.
"Di China kami ada permainan yang hampir sama, terutamanya permainan yang memerlukan kemahiran fizikal dan koordinasi. Ia suatu yang menarik untuk ketahui bahawa walaupun berlainan budaya, ada aktiviti tradisional yang sama.
"Ini pertama kali saya cuba kaki hantu. Saya ingat ia lebih mudah, tetapi untuk mengimbangi badan ia agak sukar. Saya hampir jatuh beberapa kali," katanya sambil tertawa.
Zhang Haotian, 31, yang juga berasal dari China memuji penganjuran festival seperti ini yang membawakan budaya warisan Malaysia.
"Saya fikir ia suatu yang baik bahawa Malaysia menampilkan dan mengekalkan permainan tradisional ini. Ia bukan sahaja menarik untuk pelawat seperti saya, tetapi penting untuk mengekalkan permainan tradisi ini untuk generasi akan datang," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata acara tahunan edisi kesembilan itu, telah merekodkan seramai 120,000 pengunjung termasuk 11,500 pelancong asing sepanjang penganjuran tiga hari.
"Pulangan pendapatan atau ROI sebanyak RM1.94 juta direkodkan melalui reruai usahawan, syarikat penerbangan, rangkaian hotel, operator pengangkutan awam dan premis perniagaan sekitar," katanya.
Sebanyak 28 permainan tradisional diketengahkan dalam festival itu yang bermula 13 Sept sehingga esok, antaranya lari dalam guni, kelereng, tati lawi, bola beracun, laga ayam serta permainan warisan kaum India Kabaddi dan catur cina.
Seramai 2,378 peserta terdiri daripada badan beruniform, sektor korporat dan institusi pengajian tinggi, terlibat di dalam pertandingan permainan tradisional sempena FPM@KL 2024 yang juga merangkumi pelbagai aktiviti dan pengisian seperti pameran dan demonstrasi, persembahan serta jualan.
-- BERNAMA