Floria Diraja 2018: Kuasa bunga mekar subur di Putrajaya!
Andy Reza
Ogos 25, 2018 14:06 MYT
Ogos 25, 2018 14:06 MYT
Edisi kesepuluh Festival Bunga dan Taman Diraja, Floria Diraja Putrajaya 2018, membukai tirainya hari ini sehingga 2 September depan di Presint 4, Putrajaya.
Bertemakan '10 Kegemilangan Floria', lebih 400 ribu pokok pelbagai jenis, kultivar bunga-bungaan dan tanaman hiasan akan dihimpunkan sepanjang sembilan hari penganjuran festival itu.
Selain itu, terdapat juga replika Istana Kenangan Kuala Kangsar, arca Labu Sayung di tengah kolam yang dikelilingi bunga warna-warni diinspirasikan daripada taman diraja, selain replika Menara Jam Kuala Kangsar.
Seramai 29 pereka bentuk antarabangsa dari sembilan negara, termasuk China, Jerman, Indonesia, Jepun, Korea dan Filipina terlibat menjayakan edisi kali ini.
Hasil kreativiti mereka akan diolah dalam bentuk gubahan bunga, berkonsepkan taman.
Lebih menarik, Floria Diraja 2018 juga menghimpunkan bunga-bunga tema sejak penganjuran sulungnya pada tahun 2007, iaitu Bunga Raya, Orkid, Heliconia, Ros, Bunga Kertas, Begonia, Lili dan Kekwa.
Bukan itu sahaja, Dialog Antarabangsa Floria Diraja juga akan diadakan, sebagai platform komunikasi antara pemain industri terlibat.
Penganjuran itu sekali gus membuktikan festival ini bukan sahaja sebagai produk pelancongan, malah mampu memacu ekonomi negara, menerusi penerokaan bidang-bidang baharu dan penyediaan peluang pekerjaan kepada usahawan tempatan.
Upacara perasmian, disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari.
Floria Diraja Putrajaya 2018 dibuka dari jam 9 pagi hingga 10.30 malam dari Isnin hingga Khamis dan dari 9 pagi hingga 12 tengah malam dari Jumaat hingga Ahad.
Maklumat lanjut termasuk harga tiket boleh didapati di http://floriaputrajaya.com.my.
#Azizah
#China
#ekonomi
#Filipina
#Floria
#FLORIA DIRAJA 2018
#Jepun
#Korea
#Korea Selatan
#Korea Utara
#menteri
#pelancongan
#Perdana Menteri
#Putrajaya
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#Wan Azizah
#Wan Azizah Wan Ismail