'Fire Kitchen Abang Bomba' kembali jadi tumpuan di Jelajah AKM Selangor

Bernama
Ogos 20, 2022 14:46 MYT
Kira-kira 300 kilogram (kg) mi, kuetiau dan bihun goreng dijangka dimasak sepanjang tiga hari penganjuran karnival tersebut. - Facebook: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor
SHAH ALAM: Trak makanan 'Fire Kitchen Abang Bomba' yang menjadi tumpuan pengunjung di dua siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Kelantan dan Terengganu sebelum ini, sekali lagi mendapat sambutan hangat pada edisi Selangor.
Penolong Kanan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Shahril Muhammad Hassan berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 300 kilogram (kg) mi, kuetiau dan bihun goreng dimasak sepanjang tiga hari penganjuran karnival tersebut di tapak karnival pekarangan Stadium Shah Alam di sini yang bermula semalam.
"Pada hari pertama karnival, sambutan amat menggalakkan dan makanan kita licin terjual malah terpaksa membeli bahan-bahan tambahan bagi memenuhi permintaan pengunjung.
"Semalam sahaja habis lebih 60kg dan kami jangka hari ini jumlahnya akan meningkat. Usaha kami ini bukan mahu mengejar untung tetapi lebih berbentuk kepada berkhidmat dan mendekati masyarakat," katanya kepada Bernama.
Trak makanan yang dibawa khas oleh JBPM Selangor itu menjual mi goreng, kuetiau goreng dan bihun goreng pada harga sangat murah iaitu hanya 50 sen sepinggan.
Shahril yang juga Ketua Penyelaras Fire Kitchen Abang Bomba itu berkata matlamat utama jabatan itu adalah untuk memperkenalkan orang ramai dengan 'fire kitchen' yang kebiasaannya digunakan semasa operasi melibatkan tempoh yang panjang.
"Kami juga ingin memberitahu kepada orang ramai bahawa JBPM memiliki aset seperti ini yang sentiasa bersedia untuk digerakkan apabila diperlukan.
"Contohnya, jika berlaku kebakaran di hutan dan tanah gambut yang kebiasaannya mengambil masa lama untuk dipadamkan, kita akan gerakkan jentera ini bagi kegunaan anggota memasak di lokasi kejadian," katanya.
Selain 'fire kitchen', pelbagai aset lain turut dipamerkan di bawah khemah JBPM antaranya kelengkapan pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT).
Jelajah AKM Selangor yang membuka tirainya semalam dengan pelbagai program dan aktiviti menarik diatur untuk pengunjung khususnya rakyat Selangor sehingga esok.
Dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), edisi kelapan Jelajah AKM itu menampilkan tema 'Usahawan Keluarga Malaysia Penggerak Ekonomi Negara' dengan melibatkan kira-kira 100 reruai usahawan industri kecil dan sederhana.
-- BERNAMA
#fire kitchen #JBPM #bomba Selangor #Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia
;