Final Piala AFF: Empat 'bangsa', anda yang mana satu?

Madiha Abdullah
Disember 12, 2018 13:33 MYT
Apapun 'bangsa', sokongan anda tentunya amat dihargai pemain yang memerlukan sorakan anda sebagai pembakar semangat. - Astro AWANI / Shahir Omar
PERLAWANAN akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 berlangsung dengan jayanya pada Selasa, dengan menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil dilimpahi lebih 85,000 penonton.
Ia bukan situasi luar biasa, khususnya setiap kali Harimau Malaya turun sebagai finalis dalam mana-mana perlawanan atau kejohanan besar.
Itu di stadium. Di laman sosial, ceritanya tidak kurang hebat.
Antara 'kelainan' yang boleh diperhatikan dalam edisi AFF kali ini ialah pengkhususan golongan peminat yang diberikan oleh netizen.
Empat kategori diberikan dan walaupun mungkin ada antaranya bernada sinis, namun satu yang perlu diakui, kesemua mereka menyumbang kepada kemeriahan bola sepak tempatan.
#bangsabola
Ini merupakan golongan peminat yang menjadi nadi Harimau Malaya. Lebih dikenali sebagai #ekorharimausejati, mereka bersama skuad kebangsaan dalam setiap perlawanan, dari sekecil-kecil perlawanan persahabatan, sehinggalah ke kejohanan besar. Mereka wajar diberi tabik hormat kerana dedikasi yang ditunjukkan bukan sahaja untuk perlawanan dalam negara, malah sokongan diberikan sehingga ke luar negara, tanpa mengira penat dan wang ringgit.
#bangsatv
Agak kasihan membaca tweet-tweet yang dimuat naik #bangsatv ini. Majoriti mereka adalah peminat tegar bola sepak, namun kegagalan mendapatkan tiket, dan mungkin juga komitmen tugas, membuatkan mereka terpaksa 'redha' menonton menerusi kaca televisyen sahaja.
#bangsamamak
Gagal mendapatkan tiket, kumpulan penyokong ini memilih untuk berkumpul beramai-ramai di restoran mamak untuk menonton perlawanan. Banyak video yang dimuat naik ke laman sosial memperlihatkan kemeriahan menyaksikan perlawanan dapat dirasai, menyamai kemeriahan di stadium. Lebih membanggakan apabila rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa saling bersalaman dan berpelukan apabila gol dijaringkan pasukan negara.
#bangsafinal
Ini golongan yang sedikit kontroversi. Mereka dikatakan hanya muncul pada perlawanan akhir dan tidak mempunyai pengetahuan atau mengambil tahu perkembangan bola sepak. Hal ini mencetuskan sedikit rasa tidak puas hati apabila ada penyokong tegar mendakwa kegagalan mereka mendapatkan tiket final berpunca daripada #bangsafinal ini. Tetapi bagi golongan ini, mereka berpendapat tidak salah menjadi #bangsafinal kerana apa yang penting adalah memberi sokongan kepada skuad negara.
BACA: Piala AFF Suzuki: Malaysia ikat Vietnam 2-2
Apapun, walaupun siapa dan golongan mana pun anda berada, sokongan anda tentunya sangat dihargai pemain, yang amat memerlukan sorakan anda sebagai pembakar semangat.
Kami di belakang anda, Harimau Malaya!
#bola sepak #final #harimau Malaya #Malaysia #penyokong #Piala AFF Suzuki 2018 #Stadium Nasional Bukit Jalil
;