Figure, OpenAI akan bekerjasama bangunkan model kecerdasan buatan untuk robot
Amanz
Mac 1, 2024 11:49 MYT
Mac 1, 2024 11:49 MYT
FIGURE, salah satu syarikat yang memfokuskan untuk pembangunan robot, kini mengumumkan mereka telah menerima suntikan dana pelaburan baharu daripada Microsoft, OpenAI Startup Fund, NVIDIA, Jeff Bezos, dan Intel Capital.
Jumlah suntikan dana pelaburan adalah AS$675 juta, membuatkan nilai syarikat robot berkenaan adalah AS$2.6 bilion pada hari ini.
Bersama-sama suntikan pelaburan ini, Figure turut menyatakan akan bekerjasama dengan OpenAI dalam membangunkan model kecerdasan buatan generasi baharu khusus untuk robot.
Ini sekali gus dijangka mempercepatkan lagi pembangunan robot, yang turut boleh memproses dan berinteraksi menggunakan bahasa perbualan biasa.
Di samping itu, Figure turut menyatakan mereka berhasrat untuk menawarkan robot mereka dalam operasi komersial secepat mungkin – dan pelaburan terbaharu ini dijangka membantu lagi perkara tersebut. -Amanz