FIFA 17: 'Mungkin kali ini tuah tidak bersama AmTuah'
Mariah Ahmad
Oktober 31, 2016 08:54 MYT
Oktober 31, 2016 08:54 MYT
"Maaf keputusan yang mengecewakan semua. Banyak lagi yang saya boleh perbaiki mungkin kali ini tuah tidak bersama AmTuah," luah pemain sukan elektronik FIFA, Nur Amirul Afandi, 21.
Amirul Afandi yang menggunakan nama 'AmTuah' di pentas sukan elektronik, kecewa selepas beliau terkandas di perlawanan peringkat kumpulan pada kejohanan FIFA 17 di Piala Dunia Sukan Elektronik 2016 (ESWC) yang berlangsung di Paris, Perancis.
Bagaimanapun, Amirul yang satu-satunya wakil Asia Tenggara itu berkata ini bukan penamat buatnya.
"Bagi saya, ini bukan penamat untuk saya di kejohanan antarabangsa tapi satu pemulaan yang sangat memberi pengalaman berguna.
"Sekali lagi maafkan lah, dan jutaan terima kasih kepada semua," tambah Amirul menerusi laman Facebooknya pada pagi tadi.
Dalam tujuh perlawanan pada peringkat kumpulan itu, Amirul berjaya menghasilkan 'jaringan gol' sebanyak 12 kali.
Dalam kejohanan dunia sukan elektronik itu, Amirul juga tidak menafikan tekanan hebat yang diterima daripada pemain-pemain profesional yang lain.
"Tekanan hebat semestinya daripada pemain pemain dunia yang datang. Selain itu, cuaca dan keadaan sekeliling yang sangat berbeza juga secara tidak langsung memberi tekanan,"katanya.
Amirul sebelum ini layak ke ESWC selepas menjuarai Kejohanan Sukan Elektronik Asia Tenggara (AGES 2016) yang berlangsung di Mid Valley, di sini pada Mei lalu.