Festival Seni Insan Istimewa di KL Gateway Mall, 30 Oktober ini
Bernama
Oktober 20, 2022 18:39 MYT
Oktober 20, 2022 18:39 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) buat julung kali melancarkan Festival Seni Insan Istimewa dengan kerjasama Persatuan OKU Sentral bagi menyokong bakat dan kebolehan seni yang dimiliki golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, berkata festival itu bakal diadakan di pusat beli-belah KL Gateway Mall, Kerinchi, di sini pada 30 Okt ini, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
"Festival ini akan berlangsung selama sehari dengan pelbagai program dan aktiviti menarik yang boleh disertai oleh golongan OKU dan orang ramai. Di samping itu, terdapat beberapa pertandingan dan hadiah menarik menanti bakal peserta," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata program itu dicetuskan apabila beberapa ahli Biro OKU Karyawan yang dianggotai lebih 100 individu menyarankan agar diadakan satu acara seni khusus kepada mereka, yang rata-ratanya amat berbakat dan menjadikan karier selaku buskers (kumpulan pemuzik jalanan) bagi menampung pendapatan seharian.
"Selain itu, pada malam festival pula akan diadakan satu Konsert Istimewa bakal menampilkan bakat seni suara istimewa dan antara terlibat ialah Caliph Buskers, Bad Indigo, Zaiton Sameon, Azmir Arif dan rakan artis lain seperti Moq, Datuk Yusni Hamid, Radhi Khalid, Rozita Rohaizad dan ramai lagi," katanya.
Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi, pula berkata pihaknya amat berterima kasih kepada Karyawan dalam membantu golongan itu untuk menunjukkan bakat dan kebolehan mereka kepada masyarakat melalui program berkenaan .
"Sebenarnya program sebegini merupakan kesinambungan bagi program-program yang pernah dianjurkan oleh OKU Sentral sejak beberapa tahun ini.
"Saya berharap semua pihak termasuk media dapat menguar-uarkan festival ini supaya dapat memberi lebih pendekatan dan pendedahan kepada mereka di luar sana untuk memberi peluang kepada OKU untuk melakukan persembahan serta mengajak mereka yang mempunyai anak-anak OKU untuk turut serta," katanya.
Festival tersebut turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Wilayah Persekutuan dan pihak swasta.
Individu atau badan bukan kerajaan yang berminat untuk menjadi penaja boleh menghubungi pihak urusetia di e-mel okufestive@gmail.com atau di talian 012 315 3988 (Kamaluddin Mohd Kasim).
-- BERNAMA