Festival makanan dan kebudayaan Malaysia diadakan di Islamabad

Bernama
September 16, 2023 07:15 MYT
Festival yang diadakan di Hotel Islamabad Serena itu menampilkan pelbagai hidangan masakan Malaysia dan persembahan kebudayaan. - Facebook / Islamabad Serena Hotel
NEW DELHI: Festival makanan dan kebudayaan Malaysia yang akan berlangsung selama seminggu telah dilancarkan di Islamabad, Pakistan.
Festival yang diadakan di Hotel Islamabad Serena itu menampilkan pelbagai hidangan masakan Malaysia dan persembahan kebudayaan.
Berlangsung dari 15 hingga 21 Sept, acara itu sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan ajuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia, menurut kenyataan media bersama.
Pesuruhjaya Tinggi Mohammad Azhar Mazlan dalam ucapannya berkata Malaysia dan Pakistan menikmati hubungan sangat baik yang dibina berdasarkan nilai dan kepentingan bersama dan festival itu akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali budaya Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Islamabad Serena Hotels, Aziz Boolani, mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Tinggi kerana bekerjasama dengan kumpulannya dalam menganjurkan acara itu, yang disertai oleh Chef Rizal Masir dari Malaysia dan rombongan dari Majlis Kesenian Sarawak.
Pengurus Besar Hotel Islamabad Serena, Otto Kurzendorfer, berkata Restoran Zamana di hotel itu telah diubah suai menjadi "Malaysian Wonderland" untuk membolehkan tetamu menikmati pengalaman menarik.
"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk membawa masakan dan persembahan kebudayaan yang menakjubkan ini ke Pakistan," kata Kurzendorfer.
-- BERNAMA
#festival makanan #kebudayaan #Malaysia #Islamabad #Pakistan
;