Festival Kraf Persona Tekstil 2024
Israr Khalid
Disember 6, 2024 13:00 MYT
Disember 6, 2024 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan Festival Kraf Persona Tekstil bermula 28 November hingga 8 Disember 2024 dari pukul 10.00 pagi sehingga 10.00 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Penganjuran Festival Kraf Persona Tekstil ini adalah bersempena Sambutan Hari Batik Malaysia yang diadakan pada 3 Disember setiap tahun.
Bertemakan Persona Kraf Tekstil, festival ini bertujuan untuk mengangkat hasil sentuhan kreatif dan ketelitian tangan usahawan kraf dalam menghasilkan produk tekstil tempatan merangkumi produk batik, songket, sulaman, tekatan dan jahitan yang beridentitikan Malaysia.
Penganjuran Festival Kraf Persona Tekstil mengetengahkan jualan produk kraf daripada 126 usahawan kraf dalam bidang tekstil dan aksesori. Turut diadakan jualan komuniti kraf baharu daripada 17 Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dan dua daripadanya adalah PPKK komuniti OKU.
Pelbagai pengisian aktiviti yang menarik disajikan kepada pengunjung sepanjang 11 hari seperti Jualan Produk Kraf, Pameran Produk Kraf Baharu, Pameran Institut Kraf Negara, Demonstrasi Kraf (Sulaman Kelingkam, Sulaman Nyonya Dan Sulaman Kebaya Dabung), Program Pengembangan Ilmu (Interaktif Kraf Dan Fun Craft), Program Keunggulan Seni Kraf (Bicara Kraf Dan Pameran Karya Agung), Persembahan dan Pertandingan.
Turut diadakan Pelancaran Pameran Karya Agung – Kraf Warisan Negara. Pameran ini memaparkan koleksi produk kraf daripada hasil kerja tangan lapan orang Tokoh Kraf Negara dan 65 orang Adiguru Kraf.
“Pameran ini adalah satu pengiktirafan kepada semua Tokoh Kraf Negara dan Adiguru Kraf yang memperjuangkan seni kraf masing-masing pada tahap yang tertinggi.
“Ia menjadi satu wadah rujukan tentang cara mereka menghasilkan setiap kraf dari segi bahan digunakan, motif, teknik, juga untuk mencetus inspirasi kepada para penggiat seni, juga penyelidik dan pelajar, serta seluruh anggota masyarakat secara amnya,” kata Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli selepas melancarkan pameran tersebut.
Sebagai usaha merakyatkan dan mempromosi batik tempatan pada Hari Batik, Kraftangan Malaysia juga mengadakan Jualan Rahmah Batik yang menawarkan pelbagai rekaan produk batik tempatan pada harga RM100 dan ke bawah.