Fenomena Unicorn Frappuccino Starbucks, pelanggan gembira barista pula merungut

Agensi
April 22, 2017 09:30 MYT
Barista rangkaian kedai minuman Starbucks dilaporkan banyak merungut sejak kebelakangan ini susulan meningkatnya kegilaan Unicorn Frappuccino. - REUTERS/Mohammad Khursheed
Pembuat kopi atau barista rangkaian kedai minuman Starbucks dilaporkan banyak merungut sejak kebelakangan ini susulan meningkatnya kegilaan dan permintaan terhadap produk terbaharu keluarannya, Unicorn Frappuccino.
Minuman ais dengan kandungan yang berkilau dan berwarna-warni itu telah meningkat popularitinya sejak mula diperkenalkan pada Rabu di Amerika Syarikat sekaligus dilihat menyebabkan penambahan tugas buat sesetengah barista.
Pastinya platform media sosial menjadi medan luahan rasa mereka.
Ada yang menggelarkan minuman itu sebagai “kopi dari neraka”, manakala ada yang merungut kehabisan bahan bancuhannya.
Seorang barista berkongsi pesanan 56 Unicorn Frappuccino, pada satu tempahan sahaja, manakala ramai yang berterima kasih kepada pelanggan yang membuat tempahan kopi biasa sahaja.
Di laman Twitter seorang barista Braden Burson berkongsi video beliau merungut dengan kenyataan ‘sepanjang hidup, tidak pernah rasanya begitu tertekan’. Luahannya itu telah dikongsikan lebih seribu kali.
Mujurlah minuman itu ditawarkan untuk satu tempoh yang pendek sahaja, iaitu sehingga Ahad.
Starbuks dalam reaksinya ke atas fenomena Unicorn Frappuccino berkata pihaknya telah menerima maklum balas yang positif bukan sahaja daripada pelanggan, malah rata-rata baristanya.
#barista #starbuck #Unicorn Frappuccino
;