Fenomena air surut gamit pengunjung ke Pulau Pangkor
Bernama
Februari 18, 2022 22:36 MYT
Februari 18, 2022 22:36 MYT
PANGKOR: Fenomena air laut surut sehingga membolehkan pelawat berjalan dari Pulau Pangkor ke Pulau Giam sejauh kira-kira 400 meter, menggamit kehadiran ramai ke kawasan ini untuk menyaksikan keunikan yang mempesonakan itu.
Fenomena itu membolehkan orang ramai berjalan dari pantai merentasi tengah laut pada kira-kira pukul 11 pagi berikutan kedalaman air ketika ini mencecah paras terendah, sekitar 0.2 meter sahaja.
Bagaimanapun keadaan itu hanya dapat dirasai selama sejam sahaja sebelum paras air kembali tinggi seperti biasa, mencecah empat meter; namun ia tidak menghalang kebanyakan penghujung merakam detik serta momen itu sebagai kenangan selain memuat naik ke laman media sosial masing-masing.
Seorang pengunjung Nor Fidah Roslan, 44, bersama lima sekeluarga yang datang dari Senawang, Negeri Sembilan ke Perak untuk tujuan perubatan, namun tidak melepaskan peluang merasai sendiri fenomena ini.
"Kami dengar sahaja sebelum ini dan kini dapat merasainya sendiri. Ternyata ia sangat berbaloi," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi berkenaan hari ini.
Seorang lagi pengunjung yang ditemui Norita Rusli, 48, turut berkongsi keterujaannya merentasi lautan itu, sanggup singgah ke Pangkor dari Gopeng, yang mengambil masa hampir sejam setengah.
"Disebabkan air dah mula naik ke paras peha, kami diarahkan untuk kembali ke kawasan darat kerana dikhuatiri berlaku perkara tidak diingini. Sungguhpun begitu, saya tetap gembira. Janji lepas hajat," katanya.
Jurugambar sambilan Abdullah Mohamad, 36, juga tidak melepaskan peluang merakam gambar dan video fenomena itu untuk simpanan dan kenangan selain ditunjukkan kepada ahli keluarga di rumahnya di Kampung Sungai Rokam, Ipoh.
"Saya lihat di kawasan ini dipantau rapi dan diawasi oleh pasukan penyelamat bagi memastikan keselamatan kami terjaga. Kami sebagai pengunjung juga akur dengan arahan, kerana mereka lebih arif tentang hal ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor Shah Al Haffiz Mohd. Redzuan berkata pasukannya sudah bersiap siaga sejak 31 Jan lepas dengan melakukan pengawasan dan pemantauan sepanjang fenomena berlaku.
"Setiap pengunjung yang ingin merentasi laut akan dipantau bukan sahaja oleh pasukan bomba yang juga dianggotai oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), malah ada juga pasukan penyelamat lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), 'beach boy' dari Persatuan Rekreasi Pangkor, anggota Rela dan polis, bertugas memantau situasi di sini.
"Orang ramai akan diarahkan berpatah balik sebaik sahaja paras air semakin tinggi," katanya ketika ditemui di sini.
-- BERNAMA