Fenomena air pasang besar di Tanjung Piai jadi tarikan pengunjung

Astro Awani
Disember 24, 2018 06:10 MYT
Tinjauan di pintu masuk TNJTP mendapati para pengunjung cukup teruja menyaksikan limpahan air deras di kawasan tersebut. --fotoBERNAMA
Fenomena air pasang besar membawa daya tarikan bagi Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) setiap kali tiba penghujung tahun.
Sejak hujung minggu lalu, ramai penduduk Kampung Tanjung Piai serta pelancong mengunjungi lokasi itu untuk melihat serta merasai sendiri pengalaman air pasang besar di pintu masuk taman negara hutan paya bakau itu.
Pengurus TNJTP Norwati Abdul Wahab berkata, orang ramai memang ternanti-nanti untuk bermain ibarat di taman tema air di situ, seperti mana tahun-tahun sebelumnya.
Fenomena yang berlaku sekali setiap hujung tahun itu berpunca daripada air pasang besar yang memenuhi halaman dan masuk ke taman negara itu, pada paras setinggi buku lali.
"Semasa air pasang berlaku di kawasan TNJTP, air laut dari Selat Melaka akan melimpah masuk ke kawasan taman negara kerana kawasan ini berada di pesisir pantai.
"Fenomena ini berlaku hanya dua jam sahaja dalam sehari antara 11 pagi dan 1.30 tengah hari.
"Ketinggian air pasang ini antara 3.4 meter dan 3.6 meter dengan kemuncaknya iaitu 3.6 meter pada hari ini (Isnin) dan esok," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Setiap kali berlaku fenomena ini, pihak TNJTP akan membuka laluan masuk berasingan kepada para pelawat untuk mereka melakukan aktiviti riadah bersama keluarga dengan cara yang berbeza.
Menyedari fenomena berkenaan dinanti-nantikan pengunjung, pihaknya telah memaklumkan mengenai kejadian itu tiga bulan lebih awal melalui laman Facebook milik Taman Negara Johor.
Ketika kunjungan Astro AWANI ke sana sekitar jam 10 pagi Isnin, sambutan orang ramai terutama mereka yang berkeluarga dilihat amat menggalakkan, ditambah dengan musim cuti sekolah ketika ini.
Kata Norwati, kejadian air pasang besar yang berlaku sejak 23 Dis itu dijangka berakhir pada Khamis.
Disebabkan fenomena itu juga, TNJTP menerima kunjungan kira-kira 5,000 pengunjung setiap hari.
Bagi yang pertama kali melihat fenomena air pasang besar ini, ternyata ia menimbulkan rasa teruja kepada mereka.
Tidak kurang juga, ada pengunjung dari luar Johor yang sanggup turun ke negeri di selatan Semenanjung ini bagi merasai pengalaman fenomena air pasang besar bersama keluarga.
"Saya tengok dalam Facebook, terus tertarik hendak datang ke sini. Rasa teruja. Seronok. Saya bawa anak-anak semua," kata Zaleha Abdullah, salah seorang pengunjung yang datang dua keluarga bersama adiknya.
Pelajar universiti, Mohd Izu Hayat Ayub pula berkata ini kali pertama dia mengunjungi taman negara itu untuk menyaksikan fenomena air pasang besar.
"Sebelum ini saya datang untuk aktiviti perkhemahan. Kali ini kami satu keluarga memang merancang untuk datang tengok air pasang besar.
"Selain kanak-kanak teruja dengan air yang dalam, saya juga dapat hilangkan tekanan, setelah penat belajar," katanya.
Jelas Norwati, bagaimanapun atas faktor keselamatan, pihaknya memastikan pengunjung bermain air di bawah pengawasan kakitangan yang terlatih.
Dia juga mengakui kejadian air pasang besar itu memberi kesan kepada TNJTP kerana setiap tahun ia akan hilang sedikit keluasan tanah disebabkan hakisan pantai yang kritikal.
Namun, usaha bagi mengawal kejadian hakisan terus dijalankan umpamanya melalui program penanaman pokok-pokok bakau di sekitar kawasan taman negara.
#air #air pasang besar #Kanak-kanak #keluarga #keselamatan #Norwati Abdul Wahab #pelancong #Taman Negara #Taman Negara Johor Tanjung Piai #Taman Tema Air #Tanjung Piai #TNJTP
;