Fahami tingkah laku, ekologi gajah bantu proses konservasi - Pakar

Madiha Abdullah
Mac 4, 2022 20:15 MYT
Konservasi gajah yang merupakan umbrella species, akan membantu pemuliharaan pelbagai lagi spesis endemik yang lain. - Gambar fai/Bernama
KUALA LUMPUR: Memahami tingkah laku dan ekologi gajah merupakan perkara utama yang perlu dilakukan dalam usaha konservasi dan memulihara populasi subspesies gajah terkecil di dunia, iaitu Gajah Borneo.
Ahli biologi pemuliharaan, Dr Nurzhafarina Othman berkata, paling penting adalah memastikan gajah tidak melihat manusia sebagai musuh, biarpun pada ketika tercetusnya konflik antara manusia dan haiwan tersebut.
"Gajah memerlukan kawasan yang sangat luas, dan kebanyakan kawasan ini sangat sesuai juga untuk aktiviti pertanian. Itulah antara punca konflik.
"Kini gajah dihadkan di kawasan yang sangat terhad dan mereka mula keluar dari kawasan perlindungan tetapi setakat ini tiada kes manusia yang terbunuh dengan sengaja oleh gajah.
"Ada beberapa kes manusia cedera, selalunya kerana manusia dan gajah akan terkejut apabila mereka terserempak dan kedua-duanya akan cuba lari.
"Selalunya apabila melarikan diri dari gajah, manusia akan jatuh dan tercedera tetapi setakat ini di Sabah, kita tidak ada kes kematian serangan gajah dengan sengaja, di mana gajah sengaja menyerang manusia dengan niat membunuh, bukan macam di India yang mempunyai 300 kes kematian setiap tahun.
"Jadi itulah sebabnya kita perlu mengekalkan keadaan ini. Kita tidak mahu mengubah tingkah laku gajah dengan menunjukkan seolah-olah kita adalah musuh. Jadi apa sahaja kaedah mitigasi atau kawalan terhadap gajah, kita perlu mengambil kira aspek tingkah laku dan ekologi gajah," katanya ketika muncul sebagai tetamu program Consider This, pada Khamis.
Jelas beliau, gajah sebenarnya takut apabila terserempak dengan manusia dan kebiasaannya akan berundur, terutamanya gajah betina. Banyak kes konflik dengan manusia terjadi membabitkan gajah jantan kerana mereka lebih gemarkan cabaran dan ia adalah sebahagian daripada keperluan ekologi mereka.
Proses memahami, katanya, bermula dengan rasa hormat, seiring dengan pengetahuan tentang bagaimana haiwan ini bertindak.
"Kita tidak boleh bercakap dengan gajah tetapi kita boleh menunjukkan rasa hormat, contohnya dengan meletakkan jarak tertentu. Jadi jika anda boleh hormat, gajah akan menunjukkan kepada anda tanda-tandanya.
"Jika mereka selesa, jika mereka gelisah, jika mereka berwaspada, atau adakah ia hanya mahu melihat anda. Mereka akan menunjukkan kepada anda tanda-tanda yang mencukupi sebelum mereka menyerang.
"Jika anda memahami perkara ini, anda akan dapat mengelakkan kemalangan dan konflik dengan mereka," katanya.
Konservasi gajah yang merupakan umbrella species, akan membantu pemuliharaan pelbagai lagi spesis endemik yang lain.
"Apabila kami memasang kamera, kami mendapati banyak, spesies endemik Sabah yang tinggal di kawasan yang sama.
"Jadi apabila kita meletakkan gajah sebagai spesies yang perlu dipelihara, kita sebenarnya boleh menyelamatkan haiwan lain, spesies haiwan yang lebih kecil dan juga habitat mereka," ujarnya lagi.
Menerusi Projek Seratu Aatai yang dikendalikannya, objektif utama diletakkan pada memulihara gajah melalui penyelidikan saintifik, penglibatan masyarakat dan pendidikan dan program kesedaran, dengan visi mewujudkan kehidupan harmoni antara manusia dan gajah.
"Salah satu projek utama kami sekarang ialah melaksanakan Pelan Tindakan Gajah Borneo 2022-2029 di landskap Kinabatangan. Kita ada ramai stakeholder (pihak berkepentingan) dalam industri kelapa sawit, komuniti tempatan dan industri pelancongan.
"Tetapi masalahnya kami tidak berkomunikasi antara satu sama lain. Jika kita boleh mewujudkan visi bersama dalam kalangan semua pihak yang berkepentingan, bagaimana kita boleh mencapai seperti situasi menang-menang untuk semua pihak, ia akan lebih memudahkan usaha konservasi dan pemuliharaan," katanya lagi.
Consider This: Wildlife (Part 1) - Sabah’s Bornean Elephants
Consider This: Wildlife (Part 2) - Development Sabah Wants?
#gajah Borneo #Sabah #konflik #konservasi #tingkah laku #ekologi gajah #Dr Nurzhafarina Othman #Pelan Tindakan Gajah Borneo
;