Facebook lancar Sports Stadium khusus untuk peminat sukan

Syafique Shuib
Januari 22, 2016 10:16 MYT
Facebook Sports Stadium khusus untuk peminat sukan yang mahu kongsi pandangan dan baca komentar dari orang ramai serta pengulas sukan.
Peminat sukan kini boleh berhubung di antara satu sama lain di alam maya menerusi Facebook Sports Stadium.
Produk terbaharu Facebook yang dilancarkan Rabu lalu merupakan satu platform khusus untuk peminat sukan yang mahu kongsi pandangan dan baca komentar dari orang ramai serta pengulas sukan ketika berlangsungnya sesebuah acara sukan.
Menurut pengurus produk Facebook, Steve Kafka, pengguna juga akan diberikan maklumat seperti tempoh permainan, statistik dan keputusan terkini.
"Minat terhadap sukan boleh menghubungkan orang ramai di seluruh dunia.
"Produk ini menjadikan perhubungan itu lebih seronok dan menarik dan kami akan terus mendengar maklum balas dari orang ramai untuk menjadikan ia lebih baik," kata Kafka dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Setakat ini, produk ini fokus kepada American football, sebelum memberi tumpuan kepada sukan popular lain seperti bola sepak dan bola keranjang.
Ia hanya boleh digunakan menerusi iPhone di Amerika Syarikat setakat ini.
#Facebook Sports Stadium #Steve Kafka
;