'Facebook Fairytales' himpunkan koleksi kisah-kisah inspirasi
Syafique Shuib
Februari 9, 2014 10:07 MYT
Februari 9, 2014 10:07 MYT
Facebook, rangkaian media sosial terbesar di dunia dengan 1.3 bilion pengguna (dan kian meningkat!) telah merubah dunia ini. Ia popular dikalangan pengguna internet kerana ia begitu mudah untuk digunakan. Berkongsi status dan gambar terkini boleh dibuat dengan satu klik sahaja.
Ia sama mudah untuk menyatukan rakan-rakan lama dan juga untuk 'Unfriend' seseorang tanpa perlu memberitahu mereka secara peribadi.
Timeline di Facebook juga dibanjiri dengan status dan gambar yang dikemaskini oleh para rakan-rakan.
Namun pengkritik beranggapan bahawa Facebook telah melahirkan ramai pengguna yang 'syok sendiri'. Siapa peduli dengan apa yang kamu makan pada tengahari tadi? Siapa peduli jika kucing anda sakit? Siapa kisah dengan Selfie anda?
Kajian yang dlakukan oleh Universiti Michigan pada tahun lepas menunjukkan bahawa kebanyakan penuntut kolej berkata mereka tidak gembira menggunakan Facebook.
"Apabila anda berada di laman seperti Facebook, anda mendapat tahu apa yang dilakukan orang lain dan di situ ramai akan membuat perbandingan sosial. Anda mungkin merasa kehidupan anda tidak sehebat dan kaya seperti orang lain di Facebook," kata John Jonides yang membuat kajian ini.
Namun terdapat kajian yang berbeza yang menunjukkan keputusan bahawa ada yang gembira menggunakan Facebook. Ia adalah salah satu cara untuk mengeratkan hubungan bersama mereka yang mungkin tinggal di negara lain. Kenapa perlu tulis surat jika kita sudah ada Facebook?
Mungkin anda peminat setia laman Facebook atau juga membencinya. Namun tidak dinafikan banyak perkara boleh berlaku di Facebook. Mungkin ada yang temui pasangan hidup, mendapatkan pekerjaan atau dapat melakukan perubahan yang besar kepada masyarakat menerusi penggunaan Facebook.
Buku ‘Facebook Fairtyles: Modern-Day Miracles to Inspire the Human Spirit’ oleh Emily Liebert merupakan koleksi kisah-kisah positif yang berlaku menerusi Facebook. Ia boleh menjadi inspirasi kepada para pembaca.
Penulis Emily Liebert berkata dalam bukunya bahawa Facebook telah mengubah kehidupan orang ramai tanpa disangkakan.
Kisah Cinta
Sarah Brysk dan Michael Cohen bertemu ketika masih remaja di kem belia pada tahun 1990. Setelah itu, mereka tidak berhubung kerana tinggal di bandar yang berasingan.
Lima belas tahun kemudian, Sarah dan Michael tinggal di New York namun tidak pernah sekali bertemu sehinggalah Facebook menyatukan mereka berdua. Salah seorang peserta kem remaja yang pernah dihadiri Sarah dan Michael menubuhkan sebuah Facebook Page untuk menyatukan mereka semua.
Walaupun beberapa mesej Sarah tidak dijawab oleh Michael, dia membuat keputusan untuk mencuba sekali lagi.
Mereka akhirnya bertemu, jatuh cinta dan Michael menulis mesej ini di Facebook: "Michael mahu Sarah berkata ya".
Michael melamar Sarah dan dia menjawab ‘Ya’. Beliau meninggalkan lagi satu mesej di Facebook untuk ahli keluarga mereka: "Michael dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Sarah berkata ya." dan mereka berkahwin 20 tahun setelah mereka jumpa buat pertama kali.
Kerjaya
Sarah Haines ingin menjadi seorang pelakon dan berpindah ke New York.
Tanpa harapan yang tinggi, beliau tidak kisah dengan pekerjaan yang ditawarkan asalkan ia dalam industri media. Dia akhirnya menerima pekerjaan di bawah NBC menerui satu program khusus untuk graduan universiti. Beliau ditugaskan untuk rancangan The Today Show yang merupakan rancangan bual bicara yang popular di Amerika.
Beliau mempunyai idea untuk memuat naik video dibelakang tabir rancangan berkenaan menampilkan Chris Brown. Sayang sekali penerbit laman web berkenaan berkata mereka mempunyai kandungan yang cukup. Tanpa berputus asa, beliau mencadangkan agar video berkenaan dimuatnaik di Facebook sahaja.
Video berkenaan terus mendapat sambutan hangat dan mempunyai jumlah pageviews yang tinggi. Beliau terus memuatnaik beberapa video lagi sebelum dapat menjadi hos jemputan untuk program The Today Show.
Setelah itu beliau berfikir untuk meninggalkan industri hiburan namun sempat bertanyakan kepada majikan beliau jika syarikat berkenaan berminat untuk menjadikan beliau sebagai hos sepenuh masa. Pada tahun 2009, pihak NBC berkata “Ya” dan Sarah menjadi hos sepenuh masa bersama The Today Show.
Menyumbang kepada masyarakat
Amy Eldridge merupakan pengasas Love Without Borders, yang ingin membantu kanak-kanak di seluruh dunia.
Semuanya berjalan lancar sehingga laman web Love Without Borders digodam dan dana yang diberi oleh orang ramai tidak diterima.
Sebagai seorang ibu kepada tujuh anak, beliau tidak mempunyai masa untuk mengguna rangkaian media sosial seperti Facebook. Namun, beliau mendapat tahu tentang Cabaran Amal Facebook dan mungkin itu dapat membantu beliau untuk mengumpul dana kembali.
Cabaran utama adalah beliau akan bersaing dengan organisasi gergasi American Cancer Society dan Red Cross.
Dengan $50,000 sebagai hadiah utama, beliau mengambil keputusan untuk menyusun strategi dengan memberitahu semua orang bahawa derma serendah $10 (jumlah minima) ia boleh membantu menyelamatkan 10 nyawa.
Mereka akhirnya memenangi hadiah cabaran harian pertama dan terus menggunakan pelajar-pelajar kolej dan sekolah menengah untuk mempromosikan perjuangan beliau di Facebook. Love Without Borders akhirnya memenangi $50,000, dengan penambahan $13,000 dari cabaran harian dan duit-duit lain yang diterima sebagai derma.
Organisasi ini membawa pulang $125,000! Dengan Facebook, mereka dapat menambah ahli-ahli baru dan sukarelawan dari seluruh dunia.
Apa cerita anda?
Terdapat banyak lagi kisah-kisah inspirasi di dalam buku ini. Ada tentang mendapat balik barang yang hilang, berjumpa semula dengan saudara yang sekian lama berpisah. Ada juga kisah tentang seorang pasangan suami isteri yang ingin mengambil anak angkat.
Ia menunjukkan bahawa Facebook, yang kini berusia 10 tahun pada 4 Februari, mampu memberi perubahan di dalam kehidupan seseorang.
Mungkin anda mempunyai kisah anda sendiri? Mungkin ada temui pasangan hidup anda di Facebook? Mungkin anda berjaya mendapat peluang pekerjaan atau lebih baik, anda berjaya memulakan perniagaan menerusi Facebook.
Apakah cerita Facebook anda? Kongsi cerita anda bersama kami di sini atau di Facebook Astro AWANI! Kami ingin tahu bagaimana Facebook merubah kehidupan anda.