Facebook bagi 'duit poket', benarkan kerja dari rumah sehingga Julai 2021
Agensi
Ogos 8, 2020 10:21 MYT
Ogos 8, 2020 10:21 MYT
FACEBOOK Inc membenarkan pekerjanya bekerja dari rumah sehingga Julai 2021 susulan pandemik COVID-19.
Bukan itu sahaja, kakitangan syarikat itu juga akan diberikan AS$1,000 (RM4,225) untuk menyediakan keperluan pejabat di rumah, umum syarikat gergasi media sosial itu pada Khamis.
Facebook bukan syarikat pertama yang mengambil langkah seumpama itu.
Julai lalu, Google Alphabet Inc mengumumkan membenarkan pekerja bekerja dari rumah sehingga akhir Jun 2021, sementara Twitter Inc pula mencadangkan bekerja jarak jauh tanpa had bagi sebilangan pekerjanya.
"Berdasarkan perkembangan semasa dan keputusan hasil perbincangan, syarikat membenarkan pekerja terus bekerja dari rumah hingga Julai 2021.
"Selain itu, syarikat juga akan memberikan AS$1,000 bagi membolehkan mereka membeli kelengkapan untuk bekerja dari rumah," kata jurucakap Facebook dalam satu kenyataan.
Syarikat itu bagaimanapun akan terus membuka kembali pejabat yang berada dalam lokasi selamat dengan kapasiti terhad, mengikut prosedur yang ditetapkan.
Namun, tidak banyak lokasi akan dibuka semula di Amerika Syarikat dan Amerika Latin sebelum akhir tahun ini, memandangkan jumlah kes COVID-19 masih tinggi.
#Amerika Syarikat
#COVID-19
#duit poket
#Facebook
#Google
#jarak jauh
#keperluan pejabat
#kerja dari rumah
#koronavirus
#media sosial
#pandemik
#Pekerja
#penularan
#Twitter