Era pendigitalan: Kesedaran tentang nilai kemanusiaan perlu ditingkatkan - ICRC
Astro Awani
Disember 23, 2020 21:06 MYT
Disember 23, 2020 21:06 MYT
KUALA LUMPUR: Tatkala kemudahan akses internet membuka peluang kepada penggunaan media sosial yang meluas, ia juga disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk menyebarkan maklumat yang salah dan berita palsu.
Justeru, dalam melangkah ke era pendigitalan, Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Awam, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Clara Chooi menyeru agar rakyat Malaysia menerapkan nilai kemanusiaan dalam segala kandungan digital yang dihasilkan.
“Kita berharap semua, baik pengamal media mahupun pengguna media sosial, perlu peka terhadap kandungan yang dihasilkan.
“Sebelum memuat naik, berkongsi dan ‘like’ sebarang kandungan, kita perlu berhenti dan tanya diri sendiri sama ada kandungan itu akan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain terumanya golongan rentan,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Dalam perkembangan yang berkaitan, selain semangat kemanusiaan, Clara juga menasihati wartawan dan pengamal media untuk mengamalkan nilai saksama dan tidak berat sebelah ketika membuat liputan dalam apa jua isu sekali pun.
“Prinsip-prinsip ini membimbing dan melindungi kesucian kerja kewartawanan, sama juga seperti kerja kemanusiaan.
“Selain itu, prinsip-prinsip ini juga memastikan kerja kita tidak akan mendatangkan bahaya kepada orang lain dan juga kepada diri kita sendiri,” katanya.
Pada Selasa, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan Astro AWANI LINC menzahirkan kerjasama dengan menganjurkan webinar “Telling (Human) Stories in times of Conflict & Crisis” bagi meningkatkan kesedaran berhubung Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA) dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ia juga turut bertujuan menggalakkan penghasilan kandungan yang memberi kesan positif terhadap nilai kemanusiaan.
#Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
#Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah
#ICRC
#nilai kemanusiaan
#Clara Chooi
#media sosial
#Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa
#UKKA