Enggan salam David Beckham: 'Masih ada gadis Melayu yang tahu jaga tatatertib'
Madiha Abdullah
September 23, 2017 14:33 MYT
September 23, 2017 14:33 MYT
SEBELUM ini kita sering disajikan dengan kisah bagaimana gadis-gadis Malaysia dikritik apabila bersikap keterlaluan ketika berhadapan dengan bintang terkenal antarabangsa, maka wajarlah kisah yang satu ini juga diketengahkan.
Dalam satu majlis yang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur, beberapa individu dilihat naik ke pentas dan diberi peluang bersemuka dan bersalam dengan lagenda bola sepak, David Beckham.
Tidak dapat dipastikan siapa mereka, namun menerusi satu video Instagram Live shahrizuanshaari, seorang wanita Islam, lengkap bertudung, dilihat tidak bersalam dengan bekas bintang Manchester United itu.
Sedar nilai agama yang dipegang bukan setakat pada tudung yang dipakai semata-mata, gadis itu tidak teragak-agak untuk tidak menyambut huluran salam Beckham.
Beckham juga nampaknya seolah-olah memahami apabila melihat gadis itu sekadar menunjukkan isyarat hormat kepadanya, lantas mengangguk dan melemparkan senyuman.
Tindakan gadis itu menerima pujian melangit netizen yang mengakui, masih ramai anak anak gadis tempatan yang menjaga batas pergaulan dan tahu menjaga adab, biarpun ketika berhadapan dengan bintang ternama.
Agak kelakar juga apabila ada yang mula merisik identiti si gadis, dan berhajat untuk berkenalan dengannya.
"Perempuan yang jaga tatatertib macam inilah yang layak dibuat isteri," kata netizen.
Malangnya sehingga kini, identiti gadis berkenaan belum dapat dikenal pasti.
Beckham berada di Malaysia sempena program eksklusif AIA Vitality Wellness Festival, di mana beliau merupakan Duta Global AIA.