Elakkan marah dengan emosi, dalam keadaan tidak tenteram jauhkan diri daripada anak
Mingguan Wanita
Januari 23, 2021 12:00 MYT
Januari 23, 2021 12:00 MYT
TIDAK dinafikan kita juga manusia tidak sempurna, dalam keadaan tertentu mak ayah alpa lalu marah anak dengan teruk sekali penuh emosi.
Sesungguhnya keadaan ini akan memberi kesan negatif kepada perkembangan emosi anak-anak. Mereka menjadi kurang yakin diri, berasa tidak disayangi dan lebih buruk berdendam dengan mak, ayah.
Padahal tujuan utama mak,ayah adalah untuk mendidik, namun lain pula penerimaan anak-anak.
Oleh itu, mak ayah perlu elakkan diri marah dengan emosi, dalam keadaan tidak tenteram jauhkan diri daripada anak. Cuba ambil masa sebaiknya.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami penjelasan yang cuba disampaikan:
Elakkan marah dengan emosi
Antara sebab anak menjauh ialah sikap kita yang suka marah anak dengan emosi. Kata-kata dan perbuatan kita akan penuh dengan emosi.
Ini akan mendorong kita untuk menghukum juga dengan emosi.
Ini bahaya.
Sesuatu yang dipenuhi dengan emosi akan menghiris hati anak-anak. Ibarat pisau yang cukup tajam, dengan hirisan nipis sudah meninggalkan luka yang amat pedih.
Keadaan tidak tenteram jauhkan diri daripada anak
Bukan untuk anak-anak sahaja, kita sendiri kalau kena marah dengan kata-kata penuh emosi, turut sama akan menjauh hati.
Keadaan yang sepatutnya menjadi hukuman yang ada didikan ke anak-anak, jadi sebaliknya. Paling ditakuti keterlaluan emosi marah boleh membawa kepada anak itu dipukul teruk. Ini yang jadi kes dera anak.
Ingat kawan-kawan, anak-anak adalah amanah buat kita. Tidak semua yang dah berkahwin macam kita dapat rezeki ada zuriat.
Kadang berbelas tahun kahwin, tak ada rezeki lagi.
Hargai anak, didik mereka dengan kelembutan
Jadi hargai anak-anak dengan mendidik mereka, diberi kelembutan dan kasih sayang.
Satu lagi yang perlu diingat, kita juga manusia. Sangat tidak sempurna. Lagi lah anak-anak yang kecil. Mereka cuma belajar dengan cara melihat dan mendengar.
Entah-entah yang kita marahkan sangat dekat anak itulah teguran Tuhan buat kita. Tuhan nak bagitahu itulah kamu. Tengok dekat anak tu.
Allahu.
Bila sudah tenang barulah tegur anak
Jadi elakkan marah dengan emosi. Kalau kita rasa kita sedang dalam keadaan yang tidak tenteram, jauhkan diri daripada anak-anak. Takut kita marah luar daripada batas.
Bila perasaan kita dah tenang balik, baru datang semula dekat anak tadi. Pegang mereka dan tegurlah dengan kata-kata yang paling lembut dan sesuai. Dari hati.
Ini lebih berkesan daripada kata-kata keras dan tinggi suara.
Seperti menyatakan cinta, mesti dengan suara yang lembut dan ayat yang tersusun indah ye dak? Begitulah.
Sekian.
Firdaus Mokhtar,
Kita sama-sama belajar jadi ayah.
Artikel ini dimuat naik di platform Mingguan Wanita.
#keluarga
#ibu
#ayah
#anak
#keluarga harmoni
#pengurusan emosi
#gaya hidup
#famili
#shm
#weekender
#santai hujung minggu