Elak gajet, kerap buat aktiviti bersama anak
Bernama
Januari 27, 2023 09:40 MYT
Januari 27, 2023 09:40 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam pendidikan awal kanak-kanak, aktiviti bermain adalah satu proses perkembangan kanak-kanak yang berlaku secara menyeluruh bagi memberi peluang kepada mereka meluahkan idea, perasaan dan emosi.
Justeru, ibu bapa seharusnya lebih kreatif dalam merancang dan menentukan suasana pembelajaran yang berkesan kepada anak-anak sekali gus melahirkan generasi yang cemerlang pada masa akan datang.
Bertitik tolak dari situ, seorang ibu muda Nur Izwana Asaad, 24, mengambil inisiatif menghasilkan pelbagai aktiviti permainan yang menarik di rumah demi anaknya, Anggun Aadrika Azri Shah, yang kini berusia dua tahun, tanpa perlu berbelanja besar.
Menurutnya, bukan semua barang permainan perlu dibeli sebaliknya ibu bapa perlu lebih kreatif dan berilmu dalam menarik minat anak-anak sekali gus membantu merangsang perkembangan otak dan koordinasi pancaindera mereka.
"Saya sudah dedahkan Anggun dengan aktiviti kad imbas seawal usia sebulan dan saya memang tidak beri langsung dia bermain gajet, bahkan menonton televisyen pun sangat jarang," katanya kepada Bernama.
Menurutnya, antara permainan yang dihasilkannya adalah Zipper Board, Fish Bone, Ice Skating, Cut The Hair, Tracing Octopus dan Dancing Worms mengikut kesesuaian usia dan minat anak agar tidak hilang kecenderungan untuk bermain dan akhirnya terbiar begitu sahaja.
Suri rumah itu berkata setiap permainan tersebut diperbuat daripada bahan kitar semula seperti kotak, botol mineral, kertas atau apa-apa sahaja bahan yang ada di rumah.
"Apa yang penting, saya akan bimbing Anggun untuk bermain. Ia bukan sahaja dapat membantu mengembangkan lagi daya kreativitinya tetapi juga berfungsi untuk menilai perkembangan si kecil," katanya yang berpengalaman sebagai guru taska dan tadika selama lima tahun.
Jelasnya, aktiviti yang dijalankan itu turut membantu merangsang daya pemikiran, sentuhan dan kreativiti anak-anak sekali gus memanfaatkan anaknya itu.
"Saya sedar, ada sebilangan ibu bapa lebih gemar 'mendidik' anak mereka untuk berkelakuan baik dengan menyogokkan gajet, sedangkan ia tidak bagus dalam proses pembesarannya.
"Saya lihat, aktiviti bermain banyak membawa perkembangan positif kepada Anggun terutama dari segi kemahiran motor, disiplin, sosial dan tahap komunikasinya," katanya yang menetap di Bukit Beruntung, Rawang.
Bagi Nuraisyah Nordin, 28, pula menyifatkan aktiviti bermain bersama anak dapat membantu membangunkan hubungan kekeluargaan yang baik antara ibu bapa dengan anak.
Ibu kepada dua cahaya mata iaitu Nur Malaiqa Faiha Muhammad Firdaus Ridhwan, 3, dan Nur Mirsya Azkadina Muhammad Firdaus Ridhwan, 1, berkata ibu bapa perlu berdisiplin dan konsisten dalam melakukan aktiviti bermain dengan anak pada setiap hari dan jadikan ia sebagai rutin harian.
"Namun, untuk menjayakan aktiviti itu, ibu bapa perlu tahu tahap dan umur anak. Jangan buat aktiviti di luar kemampuan anak kerana mereka akan jadi tertekan hingga membuatkannya cepat hilang fokus dan bosan seterusnya lari daripada membuat aktiviti," katanya.
"Fokus anak-anak bergantung mengikut umur antara lima hingga 10 minit, namun daya fokus ini sebenarnya boleh dirangsang supaya ia boleh menjadi semakin lama dan intensif.
"Untuk itu, ibu bapa boleh perbanyakkan aktiviti anak yang memerlukan sasaran dan fokus seperti aktiviti memasukkan putik kapas ke dalam lubang kecil yang dilihat bagus untuk meransang fokus anak," katanya.
Tambahnya, aktiviti tersebut turut membantu meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam diri anak-anak selain membuatkannya lebih berdisiplin serta pandai menguruskan diri sekali gus memberi persediaan lengkap sebelum memasuki alam persekolahan.
-- BERNAMA