Ekstrovert sukar patuh perintah berkurung, duduk diam di rumah - Kajian
Isabelle Leong
Oktober 21, 2020 17:57 MYT
Oktober 21, 2020 17:57 MYT
KAJIAN bersama Universiti Cambridge, Columbia dan Harvard mendedahkan keperibadian seseorang mempengaruhi kebarangkalian individu tersebut untuk kekal di rumah ketika berlakunya sesuatu pandemik.
Pasukan penyelidik daripada ketiga-tiga universiti tersebut membuat tinjauan ke atas 101,000 orang di 55 negara bagi mengetahui sama ada mereka akan duduk di rumah disebabkan wabak koronavirus dari hujung Mac hingga awal April lalu.
Kajian yang berjudul “How Personality and Policy Predict Pandemic Behavior: Understanding Sheltering-in-Place in 55 Countries at the Onset of COVID-19” itu mendapati ekstrovert merupakan golongan yang paling kurang cenderung untuk mengikut garis panduan untuk duduk di rumah.
“Ekstrovert suka bergaul dan peramah. Bagi mereka, ia sesuatu yang sukar untuk terperangkap di rumah dan tidak berjumpa dengan orang lain.
“Terdapat berkemungkinan besar untuk mereka melanggar perintah berkurung berbanding dengan orang yang mempunyai jenis keperibadian lain,” kata Friedrich Götz, seorang penyelidik PhD di Jabatan Psikologi University of Cambridge.
Bagi mendorong kepatuhan menyeluruh agar rantain COVID-19 dapat diputuskan, penyelidik mencadangkan agar pihak berkuasa merangka pesanan berhubung kesihatan awam yang lebih khusus kepada golongan ekstrovert dalam kalangan masyarakat.
“Peraturan yang ditetapkan kerajaan sangat mempengaruhi tingkah laku masyarakat.
“Bagaimanapun, kami perlu menyedari bahawa bukan semua orang akan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Ekstrovert berdepan dengan cabaran ketika berlakunya pandemic kerana kemungkinan untuk mereka duduk di rumah adalah paling tipis,” kata Götz.
Semua kerajaan di peringkat global bertungkus-lumus mengawal pandemik COVID-19 daripada terus menular dengan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) seperti amalan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, kerap mencuci tangan selain pelaksanaan perintah berkurung.
Pada Selasa, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri menasihati rakyat di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) supaya mematuhi SOP yang ditetapkan agar jika ingin mendapatkan semula kebebasan.
Ismail Sabri berkata, dengan mematuhi SOP dan terus mengamalkan kawalan kendiri, rakyat boleh membantu mempercepatkan penamatan perintah PKPB yang dilaksanakan.
Setakat Rabu (21 Oktober 2020), jumlah kumulatif kes positif global COVID-19 kini mencatatkan 40,818,555 kes manakala angka korban pula mencatatkan 1,125,388 kes.
Jumlah kumulatif kes positif global COVID-19 kini menghampiri 38 juta kes. Ini berikutan lebih ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.
#ekstrovert
#Kajian
#perintah berkurung
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#cabaran
#duduk di rumah
#COVID-19
#pandemik