Ekspresi lestari warisan melalui lukisan
Sinar Harian
April 30, 2023 08:00 MYT
April 30, 2023 08:00 MYT
SHAH ALAM: Usaha menarik minat anak muda terhadap cerita rakyat sekali gus melestarikan kebudayaan, warisan dan alam sekitar diekspresikan menerusi lukisan yang dibukukan dalam buku cerita bergambar berjudul Puteri Pakma.
Pelukis, Arbaayah Mohamad Zain atau lebih dikenali sebagai Abby Zain berkata, inspirasi untuk menghasilkan sesuatu lukisan adalah berdasarkan pengalamannya ketika mengunjungi sesuatu tempat.
“Saya masuk dalam hutan di Ulu Geroh, Gopeng, Perak pada tahun 2011 dan secara tiba-tiba ternampak bunga pakma (rafflesia) yang berwarna kemerahan. Saya terkesima kerana ia merupakan pemandangan menakjubkan memandangkan bunga itu sangat jarang dan sukar ditemui.
“Jadi saya terfikir kenapa tidak hasilkan sebuah lukisan dengan memasukkan elemen cerita rakyat berdasarkan apa yang saya lihat.
“Dengan cara itu dapat memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa bunga pakma adalah warisan alam semula jadi yang perlu dilindungi selain memberi mesej mengenai kepentingan memelihara alam sekitar,” katanya kepada Sinar Ahad.
Menurut Abby, keistimewaan lukisan yang dihasilkannya mempunyai jalan cerita selain diambil daripada kisah legenda dan cerita rakyat yang terdapat di kawasan berkenaan.
Selain melukis, ibu kepada tiga anak itu memaklumkan bahawa dia menulis sendiri jalan cerita buku Puteri Pakma.
Wanita berusia 57 tahun itu juga berkata, dirinya merupakan seorang pencinta kepada alam semula jadi telah menyampaikan mesej tersirat menerusi lukisan menggabungkan cerita rakyat dan visual.
“Saya lukis berdasarkan alam semula jadi yang saya lihat dan tulis kisah mengikut cerita rakyat ada di tempat atau kawasan dikunjungi tersebut.
“Sebagai contoh saya melukis menerusi apa yang saya nampak di Pulau Pangkor untuk hasilkan buku Puteri Pakma 2 dan memasukkan elemen kisah-kisah legenda di kawasan berkenaan selain turut memasukkan karakter haiwan tempatan serta tumbuhan dalam jalan penceritaan,” ulasnya.
Abby memaklumkan turut mengadakan kelas melukis dan mewarna, bengkel membuat kraf selain menerima tempahan merchandise seperti mug dan sebagainya.
Abby berkata, lukisannya dipengaruhi Van Gogh, Paul Gaugin dan Pablo Picasso dengan konsep lukisan jenis whimsical tersebut mensasarkan pelanggan terdiri daripada peminat seni dan golongan yang sukakan kebudayaan dan warisan.
Dia yang melukis sejak 2003 menerima tempahan lukisan daripada peminat seni berasal dari Amerika Syarikat dan Afrika Selatan selain pernah menyertai beberapa pameran lukisan di luar negara seperti Jerman, Iran dan China.
Jelasnya, setakat ini dia telah menghasilkan dua buku cerita bergambar iaitu Puteri Pakma yang diterbitkan pada tahun 2014 dan Puteri Pakma 2 pada tahun 2015.
“Saya juga merancang akan menerbitkan buku ketiga Puteri Pakma yang dijangka dilancarkan pada Oktober ini,” katanya.
Tambah Abby, buku Puteri Pakma telah dipilih oleh Majlis Buku Kebangsaan sebagai 50 Best Malaysian Titles for International Rights sempena pameran buku di Frankfurter Buchmesse pada tahun 2015.
Justeru, Abby berharap karyanya itu bukan sahaja mendapat tempat di negara ini, malah mengangkat seni warisan kebudayaan di persada antarabangsa sekali gus watak-watak cerita rakyat dari negara ini diangkat menjadi ikon dan dikenali seluruh dunia.
“Buku dihasilkan ini dapat menjadi sumber rujukan pada masa akan datang selain memupuk minat masyarakat terutama golongan muda lebih menghargai warisan kebudayaan dan cerita rakyat,” ujarnya. - Sinar Harian