Eksplorasi menyusuri Sungai Merbok beroperasi kembali - MPSPK

Bernama
Januari 18, 2024 08:50 MYT
Tiga 'trip' bot ditawarkan kepada pengunjung yang ingin menyusuri Sungai Merbok dengan bot katamaran. Sepanjang perjalanan, mereka dapat menyaksikan kehijauan pepohon bakau, tempat bersejarah dan aktiviti nelayan sepanjang sungai. --fotoBERNAMA
SUNGAI PETANI: Setelah lebih tiga tahun terhenti susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara, aktiviti eksplorasi menyusuri Sungai Merbok, dekat sini menerusi bot katamaran kini beroperasi kembali.
Ketua Bahagian Pelancongan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) Mohd Farid Ismail berkata dua bot yang diberi nama Mahawangsa I dan Mahawangsa II itu telah memulakan operasi sejak awal bulan ini.
"Kita menawarkan perjalanan menyusuri Sungai Merbok bermula dari Jeti Semeling menuju ke kawasan bersejarah di sepanjang sungai, antaranya Pulau Tiga, tapak Istana Pulau Tiga, Sungai Batu dan muara sungai.
"Menerusi perjalanan yang mengambil masa selama kira-kira sejam 30 minit, kita akan beri penerangan mengenai sejarah kawasan itu, contohnya tapak Istana Pulau Tiga yang pernah menjadi pusat pentadbiran Sultan Kedah ke-21, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Menurutnya Sungai Merbok menyimpan 1001 khazanah alam yang menarik termasuklah lebih 40 spesies bakau yang dapat disajikan kepada pengunjung.
"Antara spesies yang istimewa ialah Bakau Kurma Laut yang hanya tumbuh di kawasan berpasir, spesis ini dapat dilihat di kawasan Teluk Kedasang. Selain itu, terdapat pelbagai spesis unggas termasuklah burung helang.
"Kita juga sedang dalam perancangan untuk mewujudkan satu 'stop point' di sungai itu, dan pengunjung dapat melihat burung helang secara dekat di kawasan berkenaan, di samping merasai pengalaman memberi makan burung helang," katanya.
Mohd Farid berkata eksplorasi menyusuri Sungai Merbok ditawarkan pada tiga sesi setiap hari iaitu pada pukul 10.30 pagi, 2.30 petang dan 5.30 petang dengan kadar bayaran RM20 untuk dewasa, RM10 bagi pelajar, warga emas dan orang kurang upaya, sementara kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah adalah percuma.
Sementara itu, salah seorang pengunjung yang kali pertama merasai pengalaman itu, Mohd Amirul Hafiz Mazlan, 26, berkata pengalaman menyusuri Sungai Merbok menaiki bot sangat luar biasa dan memberikan ketenangan pada dirinya.
"Semasa menyusuri sungai, saya dapat melihat kehijauan yang menenangkan selain dapat mempelajari sejarah kesultanan negeri Kedah, saya juga dapat menambah pengetahuan mengenai spesis flora dan fauna yang ada di sepanjang sungai," katanya.
Bagi Norshamimi Zulbukri, 33, pula, aktiviti itu sangat sesuai untuk keluarga bagi menikmati permandangan cantik di sepanjang sungai selain merasai pengalaman menaiki bot.
-- BERNAMA
#eksplorasi sungai #pelancongan #Sungai Petani Kedah #sungai merbok
;