Earth Hour ubah pandangan dunia mengenai alam sekitar

AFP RELAXNEWS
Mac 22, 2013 17:36 MYT
Dari jambatan Sydney Harbour ke Istana Buckingham, Pagar Brandenburg ke Menara Burj Khalifa. State Empire ke Taj Mahal, Table Mountain dan ke beberapa tempat terkenal serata dunia bakal bergelap malam minggu ini sempena kempen Earth Hour.
Earth Hour yang bermula di Sydney pada 2007 antara lain menyeru orang ramai dan komuniti perniagaan untuk memadamkan lampu selama satu jam bagi meningkatkan kesedaran berhubung isu pemanasan global yang berpunca oleh pembebasan gas karbon monoksida berlebihan.
Acara memadamkan lampu tahunan itu kini semakin diikuti di beberapa lokasi di tiga suku negara seluruh dunia dan memberi impak kepada ratusan ribu pengikut menurut penganjurnya.
Dipromosikan menerusi media sosial, acara bergelap esok dimulakan pada jam 8.30 malam di 150 buah negara termasuk yang bakal memulakannya buat pertama kali seperti Palestin, Tunisia, Galapagos, Suriname, French Guiana, St. Helena dan Rwanda.
Lokasi baru untuk kempen tersebut termasuk Little Mermaid di Copenhagen, Statue of David di Florence dan Table Mountain di Cape Town.
"Tahun lalu Earth Hour disertai seramai 7,000 kumpulan komuniti meningkat 30 peratus berbanding 2011," menurut Andy Ridley pengasas bersama projek yang dilancarkan oleh WWF.
"Kawasan terbesar yang mencatatkan peningkatan ialah Asia Pasifik yang menjadi enjin ekonomi dunia. Ke mana sahaja anda pergi, anda akan berdepan dengan kemusnahan alam sekitar," menurut Ridley dalam satu perbualan telefon.
"Jika anda berada di bandar besar China, anda mungkin ke tempat kerja memakai topeng muka manakala jika anda ke Filipina pula anda dan keluarga mungkin terdedah kepada ribut taufan."
Ridley menambah "Apa yang kami dapati isu alam sekitar mungkin diterima berbeza-beza di Asia berbanding pemahaman mereka yang tinggal di Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka mungkin memandang remeh mengenainya. Isu ini adalah isu yang mengubah gaya hidup dan berpotensi mengancam keluarga."
Di Jepun apabila limpahan cahaya dipadamkan Sabtu ini di Menara Tokyo, penganjur turut meraikan Earth Hour dengan memperingati tragedi gempa bumi dan tsunami Mac 2011 yang juga memberi ancaman nuklear di Fukushima.
Di Rusia, aktivis tahun lalu memanfaatkan kejayaan Earth Hour untuk mengumpul 100,000 tandatangan untuk satu petisyen mendesak mengubah undang-undang perlindungan kawasan laut yang terancam akibat eksplorasi minyak.
Uganda menyambut inisiatif Earth Hour pertama negara itu dengan penanaman semula setengah juta pokok di 2,700 hektar kawasan.
Penganjur di Argentina pula berharap acara tahun ini dapat melindungi zon marin 3.4 juta hektar.
#bergelap #Earth Hour #memadamkan lampu #pemanasan global #Sydney
;