Dulu van buruk, kini jadi 'Library Cikgu'

Afiq Ariffin
Ogos 31, 2020 17:42 MYT
Siapa sangka, van buruk yang dibiarkan tersadai di tepi jalan ini boleh berubah wajah menjadi sebuah perpustakaan mini di hadapan rumah di Desa Impian, Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh. -Foto Astro AWANI
SUDAH bersara bukan penghalang untuk tidak kerja kuat dan berbakti kepada masyarakat.
Itu yang ditonjolkan Ahmad Sutan atau mesra dipanggil Cikgu Ahmad, dalam usahanya menerapkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak di kawasan kejiranannya.
Biarpun sudah lama secara rasmi meninggalkan bidang pendidikan, ia tidak memudarkan semangat Cikgu Ahmad untuk berbakti kepada masyarakat serta mendidik kanak-kanak.
Dek kerana ingin mengisi masa persaraan dengan aktiviti, bekas guru pendidikan seni berusia 64 tahun itu sentiasa mempunyai idea yang kreatif hingga beliau berjaya mewujudkan ‘Library Cikgu’.
Siapa sangka, van buruk yang dibiarkan tersadai di tepi jalan ini boleh berubah wajah menjadi sebuah perpustakaan mini di hadapan rumahnya di Desa Impian, Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh.
Jelas Cikgu Ahmad, ideanya itu tercetus ketika melihat banyak van yang tersadai di tepi jalan sekitar Subang Bestari.
"Tercetusnya idea Library Cikgu ini pada Februari tahun lepas, ketika saya ke Subang Bestari berjalan-jalan dan minum petang bersama rakan. Masa itu saya ternampak banyak van buruk tersadai di tepi jalan berdekatan sebuah bengkel dan terlintas di hati saya untuk membeli van tersebut untuk dijadikan perpustakaan mini.
"Kemudian saya pun bertanya kepada pemilik bengkel itu dan beliau (pemilik bengkel) terus menghubungi pemilik van berkenaan.
"Setelah saya menyatakan hasrat untuk jadikan ia sebuah perpustakaan..Alhamdulillah pemilik van tersebut memberikan saya van tersebut secara percuma kepada saya,” jelasnya.
Selain itu, kata Cikgu Ahmad, beliau juga secara kebetulan mempunyai seorang rakan yang mempunyai kilang perabot.
Jelasnya, rakannya itu turut menyambut baik hasratnya dan membantu menyediakan rak buku, kerusi serta meja atas niat bersedekah.
"Alhamdulillah, Tidak sampai dua bulan van itu telah direnovasi menjadi sebuah perpustakaan kecil,” ujarnya.
Tambah Cikgu Ahmad, beliau juga bersyukur kerana mempunyai isteri dan anak-anak yang sering menyokong impiannya.
Ketika ditemu bual, isterinya Siti Salamah atau mesra disapa ‘Opah’, berkata suaminya itu seorang yang sentiasa optimis dalam melakukan sesuatu perkara biarpun idea itu pada awalnya dipandang remeh oleh masyarakat sekeliling.
“Ketika dalam proses mengumpulkan buku-buku, Opah agak sedih kerana buku yang disedekahkan orang ramai adalah buku-buku lama termasuk buku latihan yang pernah dibuat oleh pemilik sebelumnya.
Namun, dengan pertolongan anak Opah yang turut menggunakan sosial media, kami dapat mengumpulkan buku-buku baharu dan ramai mula menyedari serta membantu kami.
“Dari situ, Opah berpendapat bahawa di luar sana terdapat ramai orang yang murah hati membantu usaha kami dan kami berasa sangat terharu.
Tambah Opah, suaminya seorang yang sentiasa lakukan yang terbaik dan dia sebagai seorang isteri menyokong penuh segala usaha suaminya dari belakang.
“Opah gembira dengan usaha yang kami lakukan ini.. sekurang-kurangnya masa tua kami tidak sunyi kerana ditemani oleh anak-anak kecil,” kata Opah.
Sedar dengan perubahan minat semasa kanak-kanak.. Cikgu Ahmad sering mengadakan kelas seni untuk menarik minat pengunjung yang datang.
“Selain membaca buku, saya juga adakan kelas seni dan kraftangan antaranya membuat tabung daripada bahan kitar semula.
“Ia sekali gus mendidik mereka untuk menabung untuk keperluan di masa hadapan,” jelas Cikgu Ahmad.
Menurut pengunjung tetap Library Cikgu, Nur Hafizah Harun, cetusan perpustakaan mini itu merupakan idea yang menarik untuk memupuk sikap suka membaca dalam kalangan kanak-kanak.
“Pada saya, Library Cikgu ini idea yang bagus terutamanya dalam memupuk semangat suka membaca dalam kalangan kanak-kanak.
“Saya sendiri suka membawa anak-anak ke sini supaya mereka meluangkan masa dengan membaca buku selain membuat kawan baharu di sini,” kata Nur Hafizah.
Kanak-kanak yang berkunjung ke perpustakaan ini datang dari kawasan kejiranannya termasuk dari Taman Desa Moccis, Kampung Kubu Gajah serta Saujana Utama.
Malah, kebanyakan mereka juga datang bersama ibu bapa mereka.
Semoga apa yang dikongsikan ini dapat mencetuskan inspirasi kepada semua pihak untuk memanfaatkan masa persaraan serta menyemai bakti kepada masyarakat.
#bersara #Buku #Cikgu #guru #Kanak-kanak #kreatif #Library Cikgu #membaca #minat membaca #perpustakaan mini #pesara #van buruk
;