Duit gaji cepat habis? Ini tip pengurusan kewangan supaya hati kekal tenang, gembira
Mingguan Wanita
September 2, 2021 11:54 MYT
September 2, 2021 11:54 MYT
SETIAP kali dapat gaji, perkara pertama yang kita akan lakukan tentulah selesaikan bayaran rumah, kereta dan bagi pada orang tua. Yang tinggal hanya cukup-cukup sahaja hingga hujung bulan seterusnya.
Ada masa perbelanjaan akan lebih, menyebabkan perbelanjaan sehingga hujung bulan belum tentu mencukupi.
Ada yang 'terpaksa korek' daripada akaun simpanan lain kerana duit dalam tangan tidak mencukupi untuk membeli minyak kenderaan, makan di tempat kerja dan sebagainya.
Ada yang bekerja lebih masa atau mempunyai dua pekerjaan atau kerja sampingan demi untuk menampung perbelanjaan ini.
Bila duit hanya cukup-cukup saja, mulalah hati tak senang. Apa nak buat bila tiada duit atau duit semakin susut? Ini ada cara dan boleh kita ikuti daripada perkongsian Md Azhari Daud.
Bila kita amalkan tip ini, InsyaAllah, hati tetap tenang dan gembira walaupun duit dalam poket atau beg duit hanya tinggal beberapa kertas berwarna biru saja.
Pakar ini kongsi cara betul menabung duit. Kalau tidak menyimpan, akan habis!
Ada 5 tip untuk kita supaya kekal tenang dan gembira walaupun buka beg duit nampak kosong.
Tip 1
Setiap kali kita terima duit, asingkan kepada 3 bahagian iaitu untuk kegunaan, simpanan dan sedekah.
Duit sedekah boleh disedekahkan setiap hari atau setiap Jumaat ataupun setiap hujung bulan. Terpulang pada pemberi sedekah. Sedekahkan setiap hari amatlah digalakkan.
Sekiranya lakukan perniagaan dalam talian, duit keuntungan juga dibahagikan kepada 3. Duit modal jangan diusik kerana itu kegunaan untuk membeli barang perniagaan.
Tip 2
Sekiranya setiap hari sudah ada duit untuk simpanan, maka setiap hari perlu ke bank untuk menyimpan. Masukkan ke akaun bank tertentu.
Zaman sekarang mudah untuk lakukan pemindahan wang secara dalam talian. Semuanya di hujunga jari sahaja!
Lupakan duit simpanan itu. Tidak perlu kira berapa wang yang sudah disimpan. Simpan sahaja dan tutup mata.
Tip 3
Semasa keluarkan duit daripada dompet, tenangkan fikiran, senyum dan kepada yang Islam, iringi dengan bacaan ayat 54 daripada surah sad.
“Inna haza larizquna maalahu minnafad”
Bermaksud “sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak habis-habis”
Baca dan fahami maksudnya. Masa kita baca sambil faham maksudnya, hati kita yakin bahawa rezeki dari DIA.
Jadi, walaupun duit hanya tinggal 10 sen sahaja dalam dompet, hati dan minda kita tetap tenang.
Tip 4
Bila kita terima sahaja duit, masukkan terus ke dalam dompet diiringi ucapan Alhamdulillah ataupun baca Surah Al Fatihah.
Amalan ini kita mensyukuri segala apa yang kita dapat.
Janji Allah, setiap kali kita mensyukuri nikmat Allah pasti Allah tambah lagi nikmat pada kita.
Tip 5
Amalkan membaca Asmaul Husna Ya Mughni (Maha Memberi Kekayaan) 1,000 kali setiap hari atau sebanyak yang mampu.
Apabila kita sentiasa berzikir, hati dan minda kita menjadi tenang. Kita akan sentiasa ingat padaNya.
Jadi, apabila dompet kita kosong, kita masih mampu tersenyum dan sentiasa berusaha ke arah kebaikan.
Kuncinya apabila kita tenang, apa jua kesulitan pasti Allah mudahkan.
Paling penting, tiang agama sentiasa ditegakkan, itu yang wajib.
Akhir sekali. Allah pasti bantu kita.
“Sesungguhnya, cara Allah memberi jalan keluar, tidaklah seperti cara yang kita sangka (masalah duit tidak semestinya selesai dengan duit).”
Mingguan Wanita : Jangan terlalu ras beban duit tak ada. Insya Allah, adalah rezeki kita nanti. Yang penting, kenalah berusaha sebab ia tak akan datang bergolek depan mata.
Sumber : Md Azhari Daud
Artikel asal disiarkan di Mingguan Wanita.