Dua sahabat rasa bertuah sempat jadi penumpang feri ikonik terakhir

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 1, 2021 14:13 MYT
Mohd Alif dan Mohamad Ezri menjadi antara penumpang dengan kenderaan empat roda yang sempat menaiki perkhidmatan feri terakhir dari BUtterworth ke George Town pada tengah malam tadi. - Astro AWANI
BUTTERWORTH: Kunjungan dua sahabat dari Taiping, Perak ke Pulau Pinang menjadi kenangan indah buat mereka apabila menjadi antara penumpang dengan kenderaan empat roda terakhir yang menggunakan perkhidmatan feri.
Mohd Alif Ali dan Mohamad Ezri Zulkamal, yang menaiki perjalanan terakhir feri Pulau Angsa dari Jeti Pangkalan Raja Tun Uda, George Town tiba di Pangkalan Sultan Abdul Halim sekitar jam 12.45 tengah malam tadi.
Mohd Alif yang menghabiskan cuti di negeri itu selepas pulang dari Australia berkata, dia sangat bertuah kerana dapat merasai pengalaman dan menjadi sebahagian dari sejarah negeri berkenaan.
Menurutnya, sudah lebih 10 tahun dia tidak menaiki feri yang menjadi ikon pelancongan di negeri Pulau Mutiara itu.
"Naik feri sebagai penumpang terakhir (dengan kereta), saya rasa beruntung. Saya pun baru balik dari luar negara rasa beruntung selepas beberapa tahun tak naik. Mungkin (penamatan perkhidmatan untuk kenderaan) tak best untuk Pulau Pinang, sebab ia sudah terkenal (sejak lama).
"Saya rasa bertuah sebab jadi orang terakhir. Sangat bertuah," ujarnya.
Mohd Alif antara pengguna yang mengambil peluang menggunakan perkhidmatan feri pada hari terakhir sebelum perkhidmatan membawa kenderaan empat roda dan pejalan kaki ditamatkan bermula hari.
Bermula 1 Januari, perkhidmatan feri lama hanya boleh digunakan oleh penunggang motosikal dan basikal manakala perkhidmatan feri untuk membawa kereta ditamatkan sepenuhnya.
Perkhidmatan bot laju pula akan digunakan bagi membawa penumpang pejalan kaki bagi menggantikan feri ikonik yang sudah beroperasi sejak 126 tahun di negeri itu.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata keputusan SPPP itu selaras dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung perkhidmatan berkenaan.
BACA: Feri ikonik P. Pinang hanya untuk motosikal, basikal bermula 1 Januari
BACA: Feri ikonik: Hari penuh emosi buat penduduk Pulau Pinang - Guan Eng
#feri #perkhidmatan feri #feri ikonik #Feri Pulau Pinang #pelancongan #pengangkutan #feri pulau angsa #jeti pangkalan raja tun uda
;