Dua restoran di Disneyland Hong Kong dapat status pengiktirafan halal
Maisarah Atan
November 21, 2015 08:00 MYT
November 21, 2015 08:00 MYT
Pengunjung Disneyland Resort Hong Kong yang beragama Islam tidak perlu bimbang tentang status halal makanan yang disediakan di restoran taman tema itu.
Ia berikutan makanan yang ditawarkan di beberapa restoran mempunyai pensijilan halal mengikut garis panduan penyediaan makanan sama seperti di Malaysia.
Menurut Pengarah Kulinari dan Chef Eksekutif Hong Kong Disneyland Resort, Rudolf Muller, proses yang dilalui bagi mendapatkan status halal untuk makanan di taman tema tersebut amat kompleks dan berhati-hati.
Tambahnya lagi, sijil halal yang telah didapati turut diletakkan di restoran tersebut untuk rujukan pengunjung.
"Syarat memperolehi sijil halal amat ketat dan mengikut garis panduan halal dari Malaysia. Ia merupakan proses mendapatkan sijil halal paling sukar kerana anda (Malaysia) lebih tegas berbanding di Asia Barat," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, baru-baru ini.
Sama seperti di Malaysia, status halal yang diperolehi hanya sah untuk tempoh tertentu, dan premis makanan diperiksa beberapa kali setiap tahun.
Muller berkata, apabila pemeriksaan dilakukan, pegawai tersebut akan memeriksa kotak simpanan daging dan pihaknya sentiasa menyimpan rekod stok serta sijil halal berkenaan.
Tambahnya lagi, nombor siri sijil tersebut perlu sama dengan nombor siri pada kotak.
"Mereka akan memeriksa stok, dan memastikan semuanya datang dari ladang yang sama, kerana itu merupakan keutamaan kami," katanya.
Setakat ini, Disneyland Resort Hong Kong mempunyai dua restoran yang disahkan halal, iaitu Tahitian Terrace di Adventureland dan Explorer's Club di Mystic Point.
Selain itu, makanan halal boleh juga didapati di beberapa restoran lain tetapi atas permintaan.