Dua pengembara Jerman terkandas di Kuching sejak PKP, tinggal dalam van
Bernama
April 1, 2020 17:58 MYT
April 1, 2020 17:58 MYT
Dua warga Jerman yang telah mengembara ke beberapa buah negara di Asia menggunakan sebuah van terpaksa tinggal dalam kenderaan itu sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.
Matthias Tischler dan pasangannya, Sonja, (kedua-duanya lingkungan 40-an) yang telah memulakan pengembaraan darat mereka dari Jerman dua tahun lepas, tiba di sini Disember lepas kini tinggal di dalam van yang diparkir di Taman Reservoir, sebuah kawasan rekreasi di tengah-tengah bandar raya ini.
"Kami hanya berharap keadaan virus itu dapat dibendung dalam beberapa minggu atau secepat mungkin agar semua orang boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan apabila kawasan sempadan untuk ke negara lain dibuka semula, barulah ia akan memudahkan kami untuk mengembara," kata Sonja ketika ditemui pemberita di taman itu.
Menurutnya, selepas tiba di bandar raya ini, mereka berdua telah meninggalkan van mereka di sini untuk mengembara beberapa minggu ke Australia dan Indonesia, sebelum kembali ke bandar raya ini pada 14 Mac di mana PKP itu dikuatkuasakan empat hari kemudian.
"Kami tersekat di sini (untuk sementara waktu) tetapi kami dapati tempat ini menarik, dikelilingi dengan masyarakat yang baik dan kami akan menunggu sehingga keadaan wabak menjadi bertambah baik," katanya.
Sonja berkata mereka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan makanan sepanjang tempoh PKP ini dan van mereka juga dilengkapi peralatan dapur bagi membolehkan mereka memasak makanan sendiri.
"Kami pergi ke pasar raya selang beberapa hari dan membeli sedikit sayur dan buah. Kami boleh memasak sendiri di sini. Kadangkala kami berkunjung ke restoran untuk membeli makanan dan membawanya pulang tetapi tidak selalu. Kami tiada masalah untuk mendapatkan makanan. Kami mempunyai banyak stok makanan untuk beberapa minggu," katanya.
Berikutan penularan COVID-19 ini, pasangan ini juga belum lagi menghubungi Kedutaan Jerman di Malaysia untuk memaklumkan situasi mereka dan tidak berhasrat untuk memendekkan pengembaraan mereka untuk kembali ke negara asal.
"Bukan sekarang (belum hubungi Kedutaan Jerman). Kami belum lagi mahu pulang ke Jerman buat masa sekarang kerana kami mempunyai van kami di sini dan berhasrat untuk berkunjung ke bahagian lain Indonesia , tinggal di sana sekejap dan mengembara seterusnya atau balik ke Eropah," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19
#kesihatan
#koronavirus
#Kuching
#pelancong
#pengembara jerman
#perintah kawalan pergerakan
#van
#warga jerman