Dua kali jumpa kembar seiras
Shamil Hizamie
Jun 15, 2015 19:45 MYT
Jun 15, 2015 19:45 MYT
Laporan sebelum ini pernah menyatakan, terdapat tujuh orang dengan wajah yang seiras di seluruh dunia.
Projek Twin Strangers ditubuhkan bagi mempertemukan individu yang berhasrat untuk bertemu dengan kembar diri.
April lalu, Niamh Geaney dikira bertuah apabila bertemu dengan kembar seiras yang tinggal kurang satu jam dari kediamannya di Ireland. Niamh bertemu Karen Branigan selepas mencari selama dua minggu sahaja.
Niamh dipertemukan dengan Karen pada April lalu. Foto: Twitter NiamhGeaney
Beberapa bulan kemudian, siapa sangka Niamh akan menemui seorang lagi gadis dengan wajah yang sama buat kali kedua.
Pelanduk dua serupa itu bernama Luisa Guizzardi dan menetap di Itali.
Sebelum bersua muka dengan Luisa, Niamh bertemu dengan Andrea yang mengenali Luisa selama 24 tahun.
“Andrea mengatakan bahawa saya dan rakannya menyalurkan aura dan perasaan yang sememangnya sama,” Ujar Niamh.
Ibu Luisa yang bertemu dengan Niamh turut tidak menyangka persamaan gadis itu dan anaknya sungguh ketara.
Persamaan Niamh dan Luisa sungguh ketara. Foto – Twitter NiamhGeaney
Ternyata persamaan jelas kelihatan apabila kedua-dua gadis ini bertemu. Kedua mereka mengenakan cara solekan yang serupa, menggayakan stail rambut yang hampir sama serta bahasa badan yang seakan.
“Ketika mula-mula berjumpa gadis lain yang mempunyai wajah sama seperti saya, ia sesuatu yang menakjubkan. Apabila ia berlaku sekali lagi, terasa sedikit janggal pula,” ujar personaliti televisyen berusia 27 tahun itu.
Niamh bercadang untuk meneruskan usahanya bagi mencari lagi lima lagi ‘kembarnya’ dari seluruh dunia.