'Doug' si kentang besar dari New Zealand tunggu pengiktirafan Guinness

Agensi
November 7, 2021 13:30 MYT
Donna pada mulanya tidak percaya menemui kentang sebesar Doug di kebunnya. - AP
WELLINGTON : Colin dan Donna Craig-Brown sedang membersihkan halaman mereka di New Zealand ketika cangkul Colin terkena sesuatu yang besar di bawah permukaan tanah.
Apabila pasangan itu mula mengorek di sekeliling objek tersebut, Colin tertanya-tanya sama ada ia merupakan sejenis kulat yang aneh. Namun, selepas Colin mencungkil sedikit kulit objek itu dengan garpu dan cuba merasanya – ia sebenarnya kentang!
“Kami tak percaya. Ia sangat besar,” kata Donna kepada AP, yang turut menyatakan rupa bentuk ubi itu yang agak hodoh, seperti bermutasi.
Namun, penemuan itu mudah menjadikannya sebagai kentang terbesar pernah dijumpai. Sejurus pasangan itu membawanya ke dalam garaj untuk ditimbang, mesin pengira berat menunjukkan bacaan 7.9 kilogram.
Sejak penemuan pada 30 Ogos itu, kentang pasangan tersebut menjadi ‘selebriti’ di sekitar kawasan ladang kecil mereka di Hamilton. Malah, ia diberi nama ‘Doug’.
“Kami memakaikan topi kepadanya. Kami memuat naik juga tentangnya di Facebook, dan bawa ia berjalan. Semua sekadar suka-suka untuk menghiburkan orang ramai,” ujar Colin.
Pasangan itu bercadang untuk membawa kentang mereka untuk diiktiraf Rekod Dunia Guinness. Rekod terakhir adalah kentang dari Britain pada 2011 yang seberat kurang 5 kilogram. Pihak Guinness masih belum memberikan maklum balas mengenai 'pencalonan' baharu itu dan pasangan Craig-Brown masih optimis menantinya.
Colin berkata, dia tidak mempunyai sebarang petua berkebun. Dia selalunya hanya menaburkan sedikit baja tahi lembu dan jerami di kebunnya dan dibiarkan sahaja.
“Ini masih misteri bagi saya... ia salah satu daripada kejutan menyenangkan dari alam semulajadi,” kata Colin yang mengakui selama ini tidak pernah menanam kentang, sebaliknya timun. Doug dipercayai tumbuh dan membesar dengan sendiri tanpa disedari kehadirannya dalam tanah kebun itu.
Sementara menunggu jawapan dari Guinness, Doug dikhuatiri tidak dapat bertahan lama. Pasangan itu menunjukkan keadaan kentang kesayangan mereka yang mula mengering dan kehilangan berat.
Selain itu, kulat sudah mula kelihatan pada bahagian parutnya, selain sudah mula menghasilkan bau yang kurang menyenangkan.
#kentang #tanaman #guinness #Hamilton
;