Dota 2: AOES lancar kem latihan intensif percuma

Mariah Ahmad
Ogos 20, 2017 16:58 MYT
Kem latihan intensif Dota 2 yang diadakan AOES ini memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri kehidupan sebagai atlet profesional e-sukan selama seminggu.
Akademi E-Sukan Iskandar Puteri (AOES) melancarkan kem latihan intensif Dota 2 secara percuma bermula 9 Oktober sehingga 23 Disember.
Melalui kem latihan intensif ini, pelajar akan didedahkan dan mengalami sendiri rutin latihan pemain profesional Dota 2 selama seminggu dan menjalani beberapa kelas di bawah pengawasan jurulatih profesional dan pakar industri e-sukan.
Bagi menyertai kem latihan intensif ini, pemain perlu berusia sekurang-kurangnya 16 tahun dan mempunyai MMR (tahap skil permainan) 3500 dan ke atas.
Kem latihan insentif tersebut diadakan sempena penubuhan institut pendidikan e-sukan AOES oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) baru-baru ini.
Ketua Pegawai Operasi (IIB) Akmal Ahmad berkata AOES berperanan untuk mengembangkan lagi industri e-sukan di Malaysia selain menjadi platform kepada pemain untuk menceburi kerjaya dalam bidang ini.
“AOES adalah satu langkah IIB untuk menjadikan Iskandar Puteri sebagai hab e-sukan di Asia Tenggara.
“AOES juga berperanan untuk mencari dan mengasah bakat-bakat baru tanah air dalam e-sukan,”katanya dalam sesi pelancaran AOES di Makespace, di sini baru-baru ini.
Selain menawarkan kursus pendidikan dan pensijilan peringkat vokasional untuk mejadi atlet e-sukan, AOES turut menawarkan kursus pengurusan acara bagi mereka yang mahu bekerja di sebalik tabir kejohanan atau program berkaitan e-sukan.
#aoes #Dota 2 #Esukan #iib
;