Dolce & Gabbana lancar koleksi muslimah, netizen luah kebimbangan
Madiha Abdullah
Januari 7, 2016 18:22 MYT
Januari 7, 2016 18:22 MYT
RUMAH fesyen terkemuka dunia, Dolce & Gabbana (D&G) baharu sahaja melancarkan koleksi muslimah jenama tersebut beberapa hari lepas.
Pengasas bersama D&G, Stefano Gabbana, memuat naik beberapa keping gambar koleksi terbaharu itu ke laman Instagramnya.
Koleksi yang merangkumi abaya atau jubah, dan hijab, menggunakan warna asas hitam dan emas, serta digambarkan sebagai 'membawa imej dan kecantikan wanita Timur Tengah'.
Tatkala ramai yang memuji kecantikan dan kehalusan rekaan jubah dan hijab dalam koleksi ini, ada juga suara-suara yang meluahkan beberapa kebimbangan, terutamanya apabila mengaitkan kecantikan dan fesyen dengan prinsip yang dibawa Islam.
Ada yang kurang setuju dengan terma 'fesyen' yang digunakan menggambarkan pemakaian muslimah.
Terdapat juga yang mempersoalkan tentang harga yang perlu dibayar untuk 'fesyen' berkenaan.
Dan tidak ketinggalan, mereka yang merasakan ia tidak lebih dari sekadar taktik meluaskan pemasaran dan mengaut keuntungan.
Untuk rekod, pada tahun 2013, Fortune melaporkan komuniti Islam membelanjakan kira-kira AS$266 juta (RM1 bilion) untuk membeli pakaian dan aksesori fesyen. Ia jauh lebih banyak daripada pasaran di Itali dan Jepun digabungkan.