DIY tembikar tanah liat bantu kurangkan stres

Bernama
Jun 11, 2024 11:15 MYT
Terapi seni tanah liat menawarkan pelbagai teknik yang dikatakan dapat membantu meningkatkan kesihatan mental serta menambah kesejahteraan psikologi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sepanjang sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan pelbagai budaya di seluruh dunia termasuk ketika zaman purba menggunakan tanah liat untuk tujuan terapeutik atau pendekatan rawatan.

Ringkasan AI
  • Teknik lemparan alin dan kaedah menggunakan tangan membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan kawalan emosi, dan mengaktifkan kreativiti.
  • Aktiviti ini baik untuk mereka dengan keresahan sosial dan kanak-kanak autisme, membantu kemahiran motor halus dan keyakinan diri.
  • Aktiviti membentuk tanah liat meningkatkan kesabaran, konsentrasi, dan memberi perasaan tenang, membantu peserta melupakan tekanan harian.

Di zaman moden, pembuatan tembikar daripada tanah liat berkembang menjadi satu bentuk seni terapi, dengan sesetengah pakar menggambarkan penyembuhan emosi yang diperolehi daripada kaedah ini sebagai " amat luar biasa".
Terapi seni tanah liat menawarkan pelbagai teknik yang dikatakan dapat membantu meningkatkan kesihatan mental serta menambah kesejahteraan psikologi.
Salah satu teknik paling terkenal yang digunakan dalam terapi ini ialah 'wheel throwing' atau lemparan alin, merujuk kepada proses membentuk tanah liat di atas mesin lemparan alin untuk menghasilkan seramik seperti pasu, mangkuk dan pasu bunga. Proses ini dikatakan boleh meningkatkan kesabaran dan konsentrasi atau daya penumpuan.
Satu lagi teknik ialah menggunakan tangan, yang membolehkan seseorang membentuk seramik dengan tanah liat dan tangan mereka.
Terdapat sebuah studio tembikar di Petaling Jaya yang menawarkan kelas untuk orang ramai mendapat pengalaman manfaat seni tanah liat dan meneroka ciri-ciri terapeutiknya.
Malahan Norbert Wong, 42, pengasas Good Times DIY Pottery Studio, mencipta serta memperkenalkan program pada tahun 2021, yang disifatkannya sebagai inovatif. Ia bertujuan menggalakkan penyembuhan emosi serta membantu orang ramai mengurus tekanan, dengan menyertai kelas berkenaan dan mereka akan dibimbing pakar pembuat tembikar.
KERESAHAN SOSIAL
Para peserta program berpeluang mempelajari dua teknik membuat tembikar tanah liat iaiatu lemparan alin dan kaedah menggunakan tangan.
Menurut Wong, apabila peserta menggunakan tanah liat, ia mempunyai banyak manfaat termasuk pengurangan tekanan serta meningkatkan kawalan emosi.
Beliau berkata, ini boleh dilihat dalam kalangan peserta yang mengakui bahawa ketika mereka leka membentuk dengan tanah liat, jiwa berasa tenang dan membuatkan mereka lupa kepada tekanan kerja.
"Mereka juga beritahu kami, meluangkan masa menguli tanah liat mengaktifkan daya kreativiti mereka. Saya juga percaya bengkel kami ini boleh membantu individu yang bergelut dengan sifat pemalu atau keresahan sosial, " katanya kepada Bernama, sambil menambah studionya juga menyediakan kemudahan untuk kegiatan membina pasukan untuk beberapa buah syarikat.
"Agak mencabar juga untuk kami mengendalikan kumpulan yang besar ketika berlangsung sesi membina pasukan tetapi ternyata para peserta begitu terhibur membuat barangan tembikar mereka."
MENAJAM KEMAHIRAN MOTOR
Menurut Wong, menghasilkan objek dengan tanah liat melibatkan juga kemampuan fizikal (otot), mental, kemahiran motor halus serta imaginasi.
Kaedah sentuhan ketika membentuk tanah liat juga melibatkan pelbagai deria, dengan demikian membolehkan peserta merasa sendiri tekstur serta bentuk, menerusi sentuhan.
"Sebaik sahaja mereka diberi tanah liat, para peserta akan mula menguli dan membentuk. Mulai peringkat ini mereka sudah tahu mereka yang mengawal sendiri proses itu dan menggunakan sebaik mungkin jari mereka.
"Perasaan yang mereka sendiri mengawal proses pembuatan ini menjadikan mereka yakin untuk mencuba sebarang projek. Ini membuka ruang untuk mereka menggunakan imaginasi masing-masing. Tanah liat juga mengajar kita untuk membetulkan sebarang kesilapan dan tidak takut untuk menghasilkan karya seni daripada tanah liat itu," tambahnya.
Wong juga berkongsi bengkel tembikar yang dikendalikan untuk kanak-kanak autisme. Memang mencabar, katanya, tetapi ia adalah sesi yang amat bermanfaat untuk semua orang.
"Untuk kelas itu, salah satu cabaran buat kami ialah untuk berfikir dan bertindak pantas apabila mengendalikan kanak-kanak kerana mereka berfikir dan bertindak berbeza daripada orang lain," katanya.
Wong berkata, beliau juga sering menggalakkan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka bermain dengan tanah liat kerana "bermain dengan tanah liat dan membuat objek daripadanya sebenarnya membantu kanak-kanak berfikir cara yang lain".
Beliau menambah, ia juga satu pengalaman baharu untuk kanak-kanak apabila mereka diajar untuk menghasilkan objek dengan menggunakan tanah liat.
KESEBARAN ADALAH KUNCI
Penyelia Good Times DIY Pottery Studio Norfarisha Adilea Mohd Faris, 21, berkata, peserta kelas tembikar diberi tanah liat seberat 500 gram setiap seorang yang mereka boleh gunakan untuk membuat cawan, mangkuk atau piring.
Mereka diarah membentuk menggunakan tanah liat dengan menggunakan lemparan alin.
"Kami mengarahkan peserta menguli tanah liat untuk mengeluarkan gelembung udara dan memastikan tanah liat itu diadun rata. Mereka juga diajar untuk mengawal kelajuan roda dan menambah air sekiranya tanah liat menjadi kering.
"Proses itu perlu diulang dengan sabar, menggunakan peralihan tekanan dengan tangan sehingga mereka mencapai bentuk yang dikehendaki. Belajar bagaimana mengawal tangan ketika mengendalikan roda serta meletakkan tanah liat di bahagian tengah, mungkin mengambil sedikit masa, tetapi sebaik sahaja peserta mula mahir mengendalikannya, ia akan menjadi mudah," jelasnya.
Selepas meletakkan tanah liat itu di bahagian tengah roda, peserta akan diajar membentuk tanah liat dengan, menggunakan ibu jari untuk membuat bahagian pangkal. Kemudian mereka perlu menekan dan melurut tanah liat ke atas, menggunakan kedua-dua tangan.
"Langkah ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana kegagalan untuk melakukan ini mungkin memerlukan peserta mengulangi semula proses ini," tambahnya.
Menurut Norfarisha Adilea, sebaik sahaja peserta menyiapkan barangan tembikar mereka, kakitangan studio akan membakar barangan itu menggunakan tanur khas dan kemudiannya disadur untuk menjadikannya selamat digunakan untuk menyimpan makanan dan kalis air.
"Hasil seni mereka akan siap untuk mereka ambil dalam masa sebulan. Ini kerana masa yang diperlukan untuk menyiapkan tanur serta proses mewarna dan saduran," katanya.
Satu perkara yang membezakan studio tembikar ini dengan yang lain ialah lokasinya yang terletak di pusat beli-belah.
"Kami selalu menerima pelanggan yang datang terus ke studio kami dan berkata mereka terkejut melihat studio tembikar ada di dalam pusat beli-belah. Ramai ibu bapa akan meninggalkan anak-anak mereka di studio kami kerana ketika anak mereka leka dengan seni tanah liat ini, mereka ada masa untuk diri mereka sendiri," tambahnya.
-- BERNAMA
#terapi seni tanah liat #kesihatan mental #mesin lemparan alin #kemahiran motor
;