Ditelan naga, bergaduh dengan beruang: Ini kisah mitos tentang gerhana matahari
Astro Awani
April 20, 2023 21:01 MYT
April 20, 2023 21:01 MYT
KUALA LUMPUR: Dari sudut astronomi, gerhana matahari berlaku apabila bulan berada di kedudukan antara bumi dengan matahari, dan menutup sebahagian atau seluruh cahaya matahari. Ia berlaku kerana fenomena alam yang bergerak mengikut sistemnya.
Meskipun fenomena itu boleh diperjelas dengan pengetahuan sains, terdapat pelbagai kelompok masyarakat dunia yang mengaitkan gerhana matahari sebagai suatu petanda buruk, berdasarkan kepercayaan dan acuan budaya masing-masing.
Berikut adalah antara kisah menarik mengenai mitos gerhana matahari yang perlu anda ketahui.
1. Penjelasan kuno mengenai gerhana matahari
Pada zaman kuno, kaum Yunani purba mempercayai bahawa apabila berlaku gerhana matahari, itu bermakna dewa sedang murka terhadap manusia.
Mereka meramalkan akan menyusul bercana atau kemusnahan
Tidak kurang juga dengan pelbagai mitos lain yang mengaitkan gerhana matahari sebagai suatu petanda buruk. Naga dan syaitan sering dikaitkan sebagai makhluk yang menelan matahari.
2. Syaitan lapar
Penduduk Vietnam percaya gerhana matahari berlaku kerana matahari ditelan katak gergasi, sementara budaya Norse pula mengaitkan syaitan sebagai makhluk yang menelan matahari.
Masyarakat China purba pula percaya gerhana matahari berlaku kerana naga menelan matahari. Bahkan gerhana, chih atau shih, membawa maksud makan.
Di India pula, kepala dewa Rahu dipenggal kerana meminum nektar, sejenis cecair yang dihasilkan tumbuhan. Kepala Rahu dikatakan 'terbang' ke langit dan menelan matahari, menyebabkan kewujudan insiden gerhana.
Dalam dongeng rakyat Korea pula, ada sebuah kerajaan gelap di kayangan yang diketuai Raja Gamangnara. Untuk menghilangkan kegelapan kerajaannya, raja itu menghantar makhluk gergasi seperti anjing untuk membawa matahari dan bulan pulang ke alam mereka.
3. Mitos Orang Asli Amerika
Kelompok Orang Asli Amerika yang dikenali sebagai Pomo percaya gerhana matahari sebagai insiden yang bermula dengan pertelingkahan antara beruang dan matahari. Pergaduhan itu menyebabkan si beruang menggigit matahari.
Mengikut cerita dongeng, selepas beruang makan sebahagian daripada matahari, si beruang pergi mencari bulan dan juga menelan sebahagian bulan, maka terjadinya gerhana bulan.
4. Sang suria marah
Masyarakat Yunani purba mempercayai bahawa apabila berlaku gerhana matahari, itu bermakna dewa sedang murka terhadap manusia. Mereka meramalkan akan menyusul bercana atau kemusnahan.
5. Matahari dan bulan bergaduh
Mengikut cerita Inuit, Dewi Matahari yang dikenali sebagai Malina beredar selepas bergaduh dengan Dewa Bulan atau Anningan. Gerhana dipercayai berlaku apabila Anningan berjaya mengejar kakaknya (Dewa Matahari).
Sementara itu, masyarakat Batammaliba yang tinggal di Benin dan Togo, menyifatkan gerhana matahari sebagai membawa pengajaran dalam kehidupan mereka. Kejadian matahari dan bulan bergaduh dilihat sebagai satu-satunya peluang pengajaran untuk menghalang penduduk di bumi daripada menyakiti satu sama lain dalam konflik.
6. Perbuatan khurafat matahari pada zaman moden
Ketakutan terhadap gerhana matahari masih wujud sehingga hari ini. Ramai yang masih beranggapan gerhana sebagai satu petanda yang membawa kematian, kemusnahan atau bencana.
Malah yang paling popular adalah tanggapan yang menyangka gerhana matahari boleh membawa kesan buruk kepada wanita hamil dan anak dalam kandungannya. Justeru, dalam kebanyakan budaya, kanak-kanak dan wanita hamil dilarang keluar dari rumah ketika waktu gerhana.
Penduduk India juga selalunya berpuasa kerana percaya masakan yang dimasak semasa gerhana akan menyebabkan keracunan, manakala sebahagian lagi berpuasa untuk pembebasan 'dewa matahari'.
Namun bukan semua kepercayaan melibatkan sesuatu yang menakutkan. Sebagai contoh, penduduk Itali percaya, pokok bunga yang ditanam ketika gerhana matahari akan menghasilkan bunga yang lebih berwarna-warni dan terang.
7. Tiada bukti saintifik
Para saintis dan ahli astronomi bagaimanapun menafikan dakwaan-dakwaan yang disifatkan sebagai karut. Malah tiada bukti yang boleh dikaitkan kejadian gerhana boleh menjejaskan tingkah laku manusia, kesihatan atau alam sekitar.
Namun para saintis menasihat orang ramai yang mahu melihat kejadian gerhana matahari supaya tidak melihat terus dengan mata kasar, sebaliknya menggunakan alat bantu pandang seperti binokular atau teleskop.
Artikel menarik berkaitan kejadian gerhana: