Disebalik cahaya festival 'Fear, Love, Hope'

Khairunnisa Kasnoon
Disember 21, 2015 12:29 MYT
Acara ini turut disajikan dengan persembahan dari Andy Flop Poopy, The Muhibbain dan ramai lagi. - Foto Astro AWANI
Menggabungkan tiga elemen - pendidikan, hiburan dan keusahawanan, Festival Fear, Love, Hope (F.LO.H) mahu menarik perhatian umum khususnya golongan muda untuk terus bergiat aktif dalam bidang-bidang terlibat.
Menekankan konsep keseimbangan dalam aktiviti yang dilakukan, idea dua selebriti ini, Erwan Muhibbain dan Adeep Nahar memfokuskan kepada aspek amal kebajikan bukan sahaja dari segi dana malah menerusi perkongsian ilmu.
"Matlamat Festival F.LO.H ialah kita nak mempromosikan keseimbangan, guru kita ingatkan cinta itu di antara takut dan haram, kebimbangan serta harapan, kalau kita ada kebimbangan sahaja kita tidak boleh terbang, jika kita ada harapan saja tidak ada ketakutan tidak boleh terbang juga, jadi bila ada dua-dua mahabbah, cinta akan hadir, akan muncul," jelas Erwan kepada Astro AWANI.
Berpegang kepada tiga slogan utama - Find the Floh, Feel the Floh dan Go with the Floh, Erwan menegaskan, festival yang dianjurkan ini bukan untuk komersial semata-mata.
Festival ini mempunyai mesejnya yang tersendiri; kepada golongan muda khususnya, yang cintakan seni, mahu berniaga dan pada masa sama mahu mendalami ilmu agama, dijemput untuk sama-sama menyertai F.LO.H dan terjemahkan bakat serta produk mereka.
Jelas Erwan, langkah ini dilihat lebih dekat di hati dan dapat memberi impak yang luar biasa.
"Seni juga bahagian penting dalam F.LO.H Fest ini, cari, rasai dan bergerak mengikut keadaan semasa (find, feel dan go with the floh,) niat, usaha dan tawakkal, satu aspek lagi ilmu, amal dan adab.
"Ilmu tanpa amal tidak ada adab, amal tanpa ilmu tidak ada adab, jadi fokusnya tujuannya adalah adab, biar ilmu sikit, tapi dengan amal dan ilmu yang sikit itu kita jadi orang yang beradab, biar amal sikit, kita usaha untuk cari ilmu untuk jadi orang yang beradab," ujarnya lagi.
Pengasas bersama, Adeep Nahar menegaskan idea yang dicetuskan ini diharapkan dapat menjadi platform terbaik kepada anak muda yang ingin melakukan kebaikan dan berubah untuk kebaikan.
"Kami ingin mengajak mereka di luar sana yang tidak berani atau tidak memakai jubah, berketayap, berserban walhal ingin mendalami ilmu, amat dialu-alukan. Kita sendiri nak cari ilmu, kita cari ilmu bersama-sama.
"Masih ada orang yang malu dan takut serta tidak kurang yang menghukum, membuatkan golongan seperti ini terbantut niat murni mereka. Semua orang ingin jadi baik, bohonglah jika tak nak jadi baik. Jadi di sinilah (F.LO.H Fest) tempatnya," kata Adeep.
Melihat ke hadapan, Festival F.LO.H yang julung kali diadakan diharap akan terus menjadi inspirasi dan lebih ramai penyertaan dan penglibatan pada masa akan datang.
"Kepada brother dan sister (saudara dan saudari) yang ada cerpen, puisi, mahu menjadi puitis, datang ke F.LO.H Fest, untuk hiburan, bawa gitarmu, bawa rebanamu, bawa darbukamu, bawa alatanmu, kita berhibur dan belajar bersama. Kita kongsi bersama," ujar mereka mengakhiri perbualan.
#Adeep Nahar #Erwan Muhibbain #fear #festival #FLOH #hiburan #Hope #keusahawanan #love
;