Dipukul suami sehingga koma, air mata ibu ini gugur setiap kali sentuh anak

Mingguan Wanita
Januari 21, 2022 18:45 MYT
Jahidah melahirkan anaknya di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada 30 November lalu melalui pembedahan. - Foto Mingguan Wanita
MASIH tidak mampu bergerak, bercakap. Setiap kali menyentuh anak, pasti air matanya gugur.
Begitulah apa yang dilalui oleh ibu ini, walaupun tidak mampu bergerak dan meluahkan kata-kata yang terbuku di hati, namun air mata yang mengalir menjelaskan segala isi hatinya.
Berat sungguh ujian buat keduanya, dia dipukul hingga koma.
Kemudian anaknya pula bila dilahirkan tiada ibu di sisi. Allahuakhbar, sedih sungguh perjalanan hidup ibu dan anak ini.
“Walaupun tangannya mengeras, kami cuba bawa tangannya menyentuh bayi itu dan setiap kali melakukannya pasti air matanya akan mengalir,” kata adik kepada Jahidah Nordin, wanita yang koma selepas dipukul suaminya dalam kejadian pada Mei tahun lalu.
Setiap kali sentuh anak
Fauziah Nordin, 40, berkata keadaan Jahidah, 43, masih tidak boleh bergerak dan hanya terlantar di katil serta masih belum melihat anaknya, Eshan Nufail yang dilahirkan pada 30 November lalu.
“Kakak masih tidak boleh bergerak dan bercakap dan hanya terlantar di katil, malah dia juga tidak dapat memberikan maklum balas apabila ditanya atau sebagainya.
“Namun, terdapat tanda dia memahami percakapan atau pertanyaan kami berdasarkan bahasa tubuh apabila dia kerap mengalirkan air mata.
“Walaupun tangannya mengeras, kami cuba bawa tangannya menyentuh bayi itu dan setiap kali melakukannya pasti air matanya akan mengalir,” katanya, ketika ditemui kru Mingguan Wanita, baru-baru ini.
Pasti air mata gugur
Jahidah melahirkan anaknya di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban pada 30 November lalu melalui pembedahan.
Fauziah berkata, Eshan berada dalam keadaan sihat dengan diberikan susu formula, malah berat badannya juga bertambah.
“Melihat keadaan kakak, memang rasa sebak kerana keadaan ini sudah berlarutan lebih enam bulan, namun saya dan ahli keluarga lain akan terus menjaganya sehingga dia pulih.
“Jahidah mengalami masalah di tekak yang mungkin menyebabkan dia sukar mengeluarkan suara namun keadaan itu dalam pemantauan pihak kesihatan,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini gaji Jahidah tidak dapat dikeluarkan daripada bank kerana dipercayai berkaitan dengan masalah di bank dan urusan mahkamah.
“Buat masa ini, kami terpaksa bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB Bank Fauziah Nordin, 7617797037.
Jahidah merupakan seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu, Johor selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei tahun lalu.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Mingguan Wanita
#Jahidah Nordin #Jabatan Kebajikan Masyarakat #didera suami #Fauziah Nordin
;