Digi dengan kerjasama AXA Affin tawar pelan Internet bersama perlindungan insurans hayat percuma
Ehsan A Marisah
Jun 1, 2020 12:44 MYT
Jun 1, 2020 12:44 MYT
KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) dengan kerjasama AXA Affin Life Insurance (AXA Affin) menawarkan Digi Abadi, sebuah pelan internet prabayar pertama seumpamanya di Malaysia bersama perlindungan insurans hayat secara percuma.
Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Loh Keh Jiat berkata, pengenalan tersebut adalah bagi mewujudkan sebuah pelan yang mudah dan berpatutan kepada pelanggan selain mampu melindungi keluarga mereka dalam tempoh mencabar ini.
“Kami memahami desakan untuk memiliki perlindungan insurans, namun dalam masa perlu mengutamakan perbelanjaan keperluan seperti penyambungan telefon.
“Justeru itu, kami memperkenalkan pelan ini agar pelanggan berasa lebih selesa dengan mengetahui bahawa mereka dilindungi tanpa sebarang tambahan ke atas komitmen kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Digi Abadi ditawarkan pada harga RM28 turut dilengkapi dengan perlindungan hayat sehingga RM40,000 bagi kematian, kematian akibat kemalangan serta perbelanjaan pengebumian tanpa melibatkan sebarang kos tambahan.
Menerusinya, pelanggan turut bakal menikmati bonus kesetiaan sehingga RM55,000 insurans hayat dan 6 gigabait (GB) kuota internet apabila semakin lama mereka menggunakan pelan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, AXA Affin, Rohit Nambiar, yakin bahawa pelan pertama seumpamanya yang ditawarkan tersebut berpotensi merapatkan jurang pelindungan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Tahniah kepada Digi kerana menghasilkan produk yang inovatif bagi pelanggan mereka dengan menyediakan perlindungan insurans yang dimuatkan bersama penyambungan internet,” katanya dalam kenyataan sama.
Satu pelan Internet dengan dua nilai hebat, pelan Digi Abadi ini memberikan perlindungan insurans hayat percuma sehingga RM40,000 kepada 100,000 pelanggan. Pelan internet prabayar yang lebih mudah dan secara eksklusif disediakan dalam talian dari harga serendah RM20 sebulan.
Pelan ini juga menawarkan kuota internet berkelajuan 3GB dengan tempoh sah selama 30 hari, 10 sen/minit untuk panggilan dan khidmat pesanan ringkas ke semua rangkaian serta tempoh sah kad SIM selama 365 hari.
Digi Abadi terbuka untuk pendaftaran baharu dan kepada pelanggan Digi yang sedia ada, dimana mereka perlu mendaftar ke talian baharu sekiranya berminat. Setiap pelanggan hanya boleh melanggan satu talian bersama satu polisi insurans hayat sahaja.
Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berhubung pelan baharu tersebut, boleh layari dan dapatkannya secara eksklusif di Digi Online Store.