Diari Jakarta: 'Antara Anyer dan Jakarta kita jatuh cinta'
Bernama
Januari 1, 2016 16:07 MYT
Januari 1, 2016 16:07 MYT
Antara Anyer dan Jakarta, Kita jatuh cinta, Antara Anyer dan Jakarta, Kisah cinta tiga malam, Kan ku ingat selamanya, Antara Anyer dan Jakarta
Itulah antara senikata lagu popular "Antara Anyer dan Jakarta" yang dinyanyi oleh Ratu Jazz Sheila Majid pada lewat 1980-an. Lagu itu mengisahkan pasangan yang jatuh cinta dalam perjalanan antara Anyer dan Jakarta, kedua-duanya di hujung barat Pulau Jawa.
Sebenarnya jika perjalanan menuju Anyer dari Jakarta untuk bercuti - ada dua perasaan yang mungkin berlaku dalam diri seseorang - sama ada gembira dan teruja atau tertekan jiwa kerana terperangkap dalam "macet" atau kesesakan lalulintas yang teruk.
Ini kerana perjalanan sejauh 150 kilometer itu boleh mengambil masa sehingga 4-5 jam maka tidak hairanlah berdasarkan senikata lagu itu seseorang itu mungkin mempunyai "ruang" untuk berkenalan dan bercinta dengan rakan seperjalanan kerana tempoh perjalanannya yang lama.
Pengalaman wartawan Bernama memandu ke Anyer di wilayah Banten itu mendapati ribuan orang berpusu-pusu menuju pantai sepanjang lebih 10 kilomter itu pada hujung minggu dan kelihatan deretan kenderaan termasuk bas-bas pelancong dari kedua-dua arah.
Memandu sendiri ke Anyer benar-benar menguji kesabaran seseorang kerana terpaksa bergerak dalam kelajuan 10-20 km dan ada kalanya terpaksa berhenti sehingga 30 minit di beberapa simpang kerana kesesakan lalulintas selain terpaksa melalui kawasan perindustrian yang sesak dengan lori dan treler.
Bagaimanapun, sebaik sahaja sampai di Anyer kelelahan akan terubat kerana terpukau dengan keindahan alam semulajadi dan pantainya.
ASAL USUL ANYER
Sebenarnya, nama kawasan Anyer itu pada asalnya adalah Kota Sudi Mampir yang bermaksud "Pekan Singgahan" dan berdasarkan fakta sejarah kawasan itu dibuka pada tahun 1667 semasa Kesultanan Banten berkuasa.
Kota ini sangat sibuk dan didiami oleh ribuan penduduk yang menjalankan kegiatan pertanian, perikanan dan menjadi singgahan kapal dagang asing kerana lautnya merentasi Selat Sunda iaitu lintasan utama dari Laut China Selatan menuju Lautan Hindi.
Pada tahun 1883 Banten ditimpa bencana paling dasyat apabila Gunung Krakatau meletus dan menggegarkan seluruh dunia.
Akibat bencana itu, ribuan nyawa terkorban dan Kota Sudi Mampir menjadi padang jarak padang terkukur manakala pulau-pulau di sekitarnya termasuk Pulau Krakatau tenggelam ditelan bumi.
Penduduk Banten yang terselamat hanya beberapa orang sahaja dan kota itu menjadi sunyi sepi serta kehidupan mereka menjadi susah kerana kerosakan tanaman serta kehilangan tempat berteduh.
KOTA KEMBALI HIDUP SEMULA
Dengan peredaran masa kota itu beransur-ansur kembali didiami golongan pedagang dan perantau dari daerah sekitar Banten seperti Pandeglang, Serang, Ciomas, Mancak, dan daerah luar Jawa seperti Padang, Lampung, Batak dan Riau menetap dan membina kehidupan mereka di situ.
Setelah itu, Kota Sudi Mampir berubah wajah dan menjadi sibuk kembali dengan diberi nama Anyer yang bermaksud "Baru" dalam bahasa tempatan.
Golongan pendakwah juga mengunjungi kota itu untuk menyebarkan syiar Islam dan dan mengikut sejarah terdapat seorang ulama dari Sunda yang datang ke daerah itu untuk berdakwah.
Ulama itu bernama Jasim dan disukai ramai kerana menghulurkan pelbagai bantuan kepada rakyat Banten yang hidup dalam kesusahan.
Jika beliau ke laut dan menangkap ikan, beliau akan sedekahkan ikan itu dan ketika berada di laut orang Banten terpegun kerana mereka tidak pernah melihat adanya orang solat di atas kapal.
Lama-kelamaan ramai orang Banten memeluk Islam dan mengikut sifat baik Jasim dengan saling bantu membantu sehingga rakyat di Anyer hidup dengan senang.
Sepuluh tahun kemudian Jasim bertolak ke tanah suci untuk menunaikan haji dan selepas kembali ke Anyer beliau mendirikan Masjid Anyer.
Bagi mengenang jasa para pendakwah itu penduduk di Anyer menamakan beberapa batang jalan dengan nama para ulama seperti Jalan Haji Jasem dan Jalan Kisepuh.
Kini penduduk di Anyer mempunyai pendapatan yang tinggi kerana ramai yang terlibat dalam bidang perniagaan dan mengusahakan chalet, restoran dan berniaga menganjurkan aktiviti sukan air.
Bagaimanapun, satu perkara yang kurang bagus di pantai Anyer adalah selain daripada membayar parkir kenderaan setiap pengunjung juga dikenakan bayaran untuk berkelah.
Sama ada kegiatan mengenakan caj setiap kepala di pantai awam itu adalah sah di sisi undang-undang atau sebaliknya tidak dapat dipastikan dan yang peliknya penjaga parkir mengeluarkan resit bayaran.
BERGEMBIRA DI ANYER
Pantai Anyer mengamit ramai pelancong tempatan dan asing kerana pantainya yang putih dan air yang jernih serta ia adalah tempat perkelahan yang paling hampir dengan ibukota Jakarta.
Selain bermandi-manda, pengunjung berpeluang untuk bermain jet ski, snorkeling dan bermain luncur air kerana ombak di sesetngah kawasan agak tinggi.
Sebaiknya pengunjung bermalam di Anyer untuk menikmati keindahan alam sewaktu matahari terbenam di hujung laut dan juga bangun awal dan ke pantai untuk menyaksikan matahari terbit menyinari laut.
Selepas itu boleh teruskan pemanduan ke Pantai Carita yang terletak tidak jauh dari Anyer dan di kawasan laut itu kita masih boleh dilihat sebahagian Gunung Anak Krakatau, peninggalan gunung Krakatau, yang masih mengeluarkan lahar.
Bagi melengkapkan kenangan di Anyer, pengunjung boleh menjamu seleras dengan makan laut segar di restoran-restoren yang menyediakan pondok atau bangsal untuk pelanggan yang datang berkumpulan atau berkeluarga.
Boleh makan pelbagai jenis makanan laut secara hidang dengan duduk bersila sambil menikmati keindahan alam dan mendengar deruman ombak.
Segala kepenatan akan berbaloi kerana Anyer akan memberi anda memori yang tidak mungkin dapat dilupakan.