Diabetes: Ramai ambil mudah sebab hanya 'nampak' apabila sudah mudarat - Pakar

Madiha Abdullah
November 14, 2021 11:00 MYT
Pesakit diabetes hanya merasai kemudaratannya apabila sudah berada di tahap serius. - Foto/AFP Relax
KUALA LUMPUR: Sikap ambil mudah menjadi penyebab angka penghidap penyakit diabetes di Malaysia terus menunjukkan peningkatan setiap tahun.
Timbalan Dekan (Siswazah), Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Dr. Norlaila Mustafa berkata, sebahagian besar rakyat Malaysia sedar dan tahu faktor penyebab diabetes, namun tidak menganggapnya satu perkara serius.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2019 mendapati seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes.
"Kebanyakan orang awam tahu penyebab diabetes seperti obesiti, kurang senaman, pengambilan gula yang berlebihan dan sejarah keluarga tetapi tak semua yang nak pergi jumpa doktor dan lakukan pemeriksaan.
"Ini termasuklah mereka yang ada ibu bapa penghidap diabetes atau ada masalah berat badan, mereka berisiko lebih tinggi tetapi masih juga tak mahu lakukan pemeriksaan.
"Lagi satu, rata-rata orang ramai percaya hanya gula yang menyebabkan diabetes sedangkan sebenarnya semua yang kita makan akan ditukarkan menjadi gula. Kalau makan nasi berlebihan, mi goreng, roti canai, nasi lemak setiap hari, kemudian tak akftif bersukan, paras gula dalam badan akan naik.
"Jadi saya fikir orang kita tahu tentang diabetes tapi hanya tahu secara luaran sahaja. Tahu dan ambil tahu lebih mendalam dua perkara berbeza, dan ambil tindakan untuk berubah itu lebih penting," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Prof Norlaila juga menegur sikap segelintir ahli masyarakat yang berpendapat hanya mereka yang disahkan menghidap diabetes perlu mengamalkan diet tertentu dan menjaga pemakanan.
"Saya selalu dengar dalam keluarga contohnya, apabila ada salah seorang, contohnya si suami hidap diabetes, isteri akan cakap 'abang tak boleh makan ini, kami tak mengapa, boleh'. Ini salah.
"Kalau salah seorang dalam keluarga sudah ada diabetes, yang lain juga berpotensi untuk dapat juga, cuma mungkin lewat sedikit, bergantung pada faktor seperti usia, genetik dan lain-lain.
"Jadi, tak betul kalau kita suruh pesakit sahaja jaga makan, seharusnya satu keluarga pun kena jaga makan," tegasnya.
Beliau yang juga Pakar Perunding Kanan Endokrinologi menambah, kerana diabetes hanya akan memberi kemudaratan di peringkat akhir, ramai berpendapat penyakit itu tidak sukar diuruskan dan ditangani.
"Diabetes bukan macam sakit jantung, pesakit akan rasa tidak selesa, rasa sakit, ada yang sampai rasa macam nak mati. Kalau kena toreh pisau contohnya, kita nampak darah dan kita rasa sakit jadi kita takut. Diabetes tidak begitu.
"Simptom seperti kerap haus, letih dan kurang berat badan, itu pesakit hanya akan alami apabila paras gula naik mendadak. Tetapi masalahnya, dengan gaya pemakanan kita di Malaysia yang sudah terbiasa dengan pengambilan gula, badan sudah adapt dengan paras gula yang tinggi jadi kita tak rasa apa-apa.
"Kemudaratan hanya nampak apabila penyakit sudah teruk, seperti buah pinggang rosak, kaki kena potong sebab luka tak sembuh, atau kena strok contohnya," katanya lagi.
Hari Diabetes Sedunia yang disambut setiap tahun pada 14 November, tahun ini membawa tema 'Akses Kepada Penjagaan Diabetes: Jika Bukan Sekarang, Bila Lagi?’
Ia selaras dengan keperluan untuk meneruskan usaha pelbagai hala untuk mempromosikan dan meningkatkan kesihatan sejagat, dan menyediakan akses kepada rawatan dan pendidikan penjagaan kesihatan terutamanya penyakit diabetes.
Tema untuk sambutan pada tahun ini juga bertepatan dengan 100 tahun penemuan insulin bagi merawat penyakit diabetes.
#diabetes #diet #pemakanan #gaya hidup #Malaysia #Prof Dr Norlaila Mustafa
;