Di sebalik tabir "Reef Rescuer"

Tan Su Lin
Mei 30, 2013 04:40 MYT
“Baiklah, saya akan terjun!” kata Emile yang berdiri di pinggir bot, masih dengan pakaian t-shirt hitam dan seluar pendek.
Memakai kamera mudah alihnya, dia yang tinggi lampai terjun ke dalam laut.
Kocakan buih-buih putih kelihatan disusuli kelibat rambut berwarna perang. Emile kemudiannya timbul untuk bernafas.
“Di sana!” Saya menunjukkan ke arah sekumpulan penyelam yang menyertai kempen pembersihan dasar laut Astro Kasih.
Kesemua mereka telah bersedia untuk menyelam ke dasar laut untuk mengumpul sebanyak mana sampah yang boleh bagi mencapai sasaran rekod pembersihan dasar laut paling lama dalam Guinness World Record.
Emile kemudiannya berenang kearah sekumpulan 5 orang penyelam dan mengambil gambar menggunakan kamera kalis air.
Beberapa minit selepas penyelam tersebut menyelam, Emile tersenyum. Dia telah memperoleh rakaman yang dia inginkan.
Sebelum dia naik kembali ke atas bersama rakan media yang lain, saya mengacukan mikrofon kearahnya.
“Boleh gambarkan apa yang berlaku di sana?” saya bertanya.
“Saya nampak kumpulan penyelam di sana dan saya terfikir untuk mengambil gambar secara dekat” kata penerbit dari Britain itu yang sedang merakamkan dokumentari “Reef Rescuer” untuk saluran Discovery.
Ia merupakan program eksklusif selama 30 minit memaparkan halangan yang dihadapi 134 penyelam dari seluruh dunia membersihkan terumbu karang Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Sabah dengan rekod 168 jam tanpa henti.
Hasil daripada usaha itu, lebih dari 3 tan sampah berjaya dipungut dan dasar laut bertukar menjadi lebih bersih.
“Apa yang akan penonton boleh harapkan dari program ini nanti?” saya usulkan soalan lanjut sedang Emile terus berusaha untuk terapung. (jangan risau, dia merupakan perenang yang handal)
“Soalan apakah yang hendak ditanya dalam situasi sebegini?” Emily bertanya sambil ketawa dan memastikan kepalanya terus berada di atas paras air.
Saya hanya tersenyum dan berkata apa yang beliau lakukan akan kelihatan baik di kaca TV nanti.
“Penonton boleh menonton dokumentari penuh aksi yang menampilkan semua yang terlibat dalam menjayakan usaha memecah rekod Guinness. Dari pihak berkuasa, polis, marin, penyelam dan sukarelawan. Mereka semua mempunyai peranan masing-masing,” kata Emile.
“Baiklah, boleh saya naik sekarang?” dia bertanya setelah saya selesai menyoalnya.
Bagaimanapun timbul satu masalah. Tiada tangga atau tali untuk digunakan untuk naik semula ke dalam bot! Kami semua terpaksa menarik Emile naik ke atas. Moralnya: Pastikan sekiranya anda ingin berenang terdapat cara untuk naik semula ke bot sebelum terjun ke laut!
Melalui cara dia menghasilkan filem tersebut, saya rasakan ia akan menjadi sebuah dokumentari yang hebat dimana kebanyakan rakaman yang diambil olehnya merakamkan detik-detik yang menakjubkan di mana penyelam terjun ke dalam laut biru, dengan misi untuk membersihkan terumbu karang.
Kebanyakan masa dia menjalankan pengambaran menggunakan GoPro, sebuah kamera kecil untuk kegunaan luar dan sukan lasak, yang dianggap rakan baiknya.
Kembali ke darat, Emile menunjukkan saya beberapa hasil kerjanya bersama Discovery. Dokumentari terbarunya bertajuk “Abalone Wars” yang memaparkan sekumpulan nelayan Australia mempertaruhkan nyawa mereka untuk menuai hasil laut yang menjadi rebutan. Bagaimanapun bahaya yang mereka hadapi ialah jerung!
Menonton cebisan rakaman di komputer riba dia membuatkan saya berasa kagum. Bagaimana projek barunya “Reef Rescuers” akan terhasil. Mesti lebih baik berbanding sebelumnya!
“Untuk mengetahuinya, awak harus menontonnya sendiri!” dia berkata.
Tiada apa yang dapat menandingi pengalaman membersihkan terumbu karang. Bukan tugas yang mudah untuk menyelam tanpa henti untuk mengutip sampah dari dasar laut, siang dan malam. Untuk berjaya dalam cubaan tersebut, setiap penyelam harus mengutip sekurang-kurangnya satu sampah. Setiap sampah yang dikutip merupakan satu kejayaan.
Bagaimanapun bagi saya, ia lebih menyedihkan menyaksikan sampah buatan manusia dibuang di dasar laut. Botol plastik dan jala ikan merupakan sampah yang kerap dijumpai oleh penyelam. Terdapat banyak sampah domestik dan juga lampin pakai buang.
Selain membuat liputan acara bagi Astro AWANI, saya juga diberi peluang untuk menyelam bersama-sama penyelam lain dan melihat kesusahan membersihkan sampah terebut.
Ia bukan tugas yang mudah. Dengan tangki oksigen terhad kepada penggunaan selama 60 minit, seseorang harus mengumpulkan sampah sebanyak mungkin. Sesetengah penyelam terpaksa bergelut untuk memotong jaring yang tersangkut di terumbu karang.
Oleh kerana ia merupakan selaman tanpa henti selama 168 jam, penyelam perlu mengumpul sampah di dasar laut pada tengah malam sehingga ke matahari terbit, menguji daya tahan mereka, apatah lagi menyelam pada waktu malam di dalam gelap.
Sesuatu yang tidak seharusnya terlepas untuk ditonton.
“Reef Rescuers” akan disiarkan pada 30 Mei 2013 pukul 7 malam di saluran Discovery, Astro 551.
Astro AWANI merupakan penyiar rasmi kempen Astro Kasih Pembersihan Dasar Laut Terpanjang berlangsung dari 6 hingga 13 April 2013.
#Astro Kasih #pembersihan laut #reef rescuer