Desaru Coast, diiktiraf antara 100 destinasi terbaik di dunia untuk pelancong
Astro Awani
Julai 24, 2021 12:00 MYT
Julai 24, 2021 12:00 MYT
SUDAH berapa lama agaknya anda tidak bercuti?
Sudah berapa lama tidak menghirup udara segar di tepi pantai sambil membetulkan rambut yang acapkali kusut ditiup angin?
Apalah agaknya khabar ikan-ikan dan haiwan lain di laut?
Rindu pula rasanya nak melihat lambaian pokok kelapa yang seolah-olah memanggil kita. Sihatkah pokok-pokok itu?
Kita duduk di bumi Malaysia, tanah yang sememangnya terkenal dengan lokasi percutian, baik dari pemandangan, kemudahan dan sudah tentu, makanan!
Sudah pasti kita rindu semua itu.
Begitupun, sejak pelaksanaan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan sejak dari awal tahun ini, sudah lama rasanya rakyat Malaysia tidak bercuti.
Tahukah anda, di sebalik kisah rakyat Malaysia setiap hari ‘terkurung’, ada mata di luar sana yang sentiasa memerhati dan mengiktiraf keindahan dan keunikan Malaysia.
Baru-baru ini, Desaru Coast yang terletak di Johor diiktiraf sebagai salah satu daripada 100 Destinasi Terbaik Dunia 2021 oleh Time Magazine.
Berita tersebut nyata menggembirakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Coast Destination Resort Roslina Arbak yang berkata:
“Kami sangat berbesar hati kerana diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh syarikat penerbitan terkenal ini dan kami bangga untuk mewakili Johor dan juga Malaysia.
“Ini merupakan pencapaian mengagumkan bagi sebuah pasukan yang baru dua tahun beroperasi dan dalam tempoh yang mencabar untuk industri.
“Dengan pengiktirafan ini, kami tidak sabar untuk meraikan kedatangan pengunjung dari seluruh dunia apabila aktiviti pelancongan dibenarkan nanti," katanya dalam satu kenyataan.
Senarai itu yang diterbitkan pada 20 Julai adalah berdasarkan maklumat dikumpulkan rangkaian koresponden antarabangsa Time Magazine bersama pakar industri dari seluruh dunia.
Desaru Coast adalah satu-satunya destinasi di Malaysia yang tersenarai dalam pengiktirafan tahun ini.
Destinasi berkenaan dicadangkan kepada pelancong antarabangsa sebagai percutian pantai yang menawarkan seleksi hotel serta tarikan lain seperti lapangan golf bertaraf dunia dan pelayaran melalui Sedili Wetlands.
Terletak di tepi pantai yang bersih sepanjang 17 kilometer, Desaru Coast juga menempatkan hotel bertaraf dunia yang ultra-mewah, termasuk One and Only Desaru Coast, Anantara Desaru Coast Resort and Villas, The Westin Desaru Coast Resort dan Hard Rock Hotel Desaru Coast.
Pengiktirafan terbaharu itu pastinya sedikit menggembirakan mereka yang pastinya perniagaan terkesan akibat COVID-19.
Semoga negara cepat bebas daripada COVID-19 dan bila semuanya baik-baik nanti, tak sabar rasanya nak jejakkan kaki ke pantai dan mandi laut!
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#desaru coast
#pelancongan
#tourism
#rakyat Malaysia
#COVID-19
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#iktiraf
#Time magazine
#Pantai
#lautan
#Johor