Deruan enjin lebih 100 Lamborghini bakal gegar ibu kota 11 Jun ini

Faris Danial Razi
Mei 21, 2022 10:00 MYT
Roslan (kiri) dan Rakesh (kanan) berkongsi rasa teruja untuk mencipta satu lagi rekod baharu menerusi Malaysian Book of Records pada 11 Jun ini. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sembilan tahun lalu, kelab Lamborghini Owners Malaysia (LOM) berjaya menempa nama dalam Malaysian Book of Records (MBOR) dengan mengumpulkan 77 kereta super dalam satu acara di tengah ibu kota Kuala Lumpur.
Hampir sedekad kemudian, kumpulan pemilik kereta mewah ini sekali lagi cuba memecah rekod dengan mengumpulkan lebih 100 buah kereta, sekali gus bakal menjadi rekod terbesar dalam mengumpulkan kereta super itu pada satu-satu masa.
Menurut Presiden LOM, Datuk Roslan Rosdi, sudah sekian lama pihaknya ingin mengejar rekod tersebut, namun dengan lebih banyak kelonggaran ketika negara beralih ke fasa endemik, ia mungkin masa yang sesuai untuk sejarah baharu dilakar.
"Acara yang bakal mencipta rekod baharu ini bakal melibatkan aktiviti pemanduan yang dianjurkan khas kepada ahli LOM.
“Sebaik sahaja kami berjaya melepasi rekod itu secara rasmi di tengah ibu kota Kuala Lumpur, kami akan bertolak ke Chateau, Bukit Tinggi di mana bakal berlangsungnya majlis makan malam gala, yang dipanggil sebagai Bulls Ball,” ujarnya ketika ditemu bual pada Khamis.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LOM, Datuk Rakesh Sachdev menjelaskan, acara yang bakal berlangsung pada 11 Jun itu turut memberi penghargaan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
“LOM akan beri penghormatan kepada mereka yang kurang bernasib baik dengan sumbangan yang besar kepada wakil empat badan amal.
“Matlamat kami adalah untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM40,000 daripada ahli dan rakan kongsi kami," jelas Datuk Rakesh.
Deruan enjin kereta mewah yang berasal dari Itali ini bakal menggegarkan ibu kota pada jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, 11 Jun depan di tempat letak kereta terbuka berhadapan Hotel Mandarin Oriental.
Para peminat kereta super yang hadir pada hari tersebut juga akan berpeluang melihat varian vintaj, rare, dan super car Lamborghini terbaharu seperti Lamborghini Gallardo MLE, Huracan Spyder, Urus SUV, dan Aventador SVJ.
#Lamborghini #Lamborghini Owners Malaysia #Roslan Rosdi #Rakesh Sachdev
;